Kantoi sorok tiga PATI dalam but kereta untuk rentas negeri

Ketiga-tiga PATI ditemui bersembunyi dalam but kereta ketika merentas negeri dari Sabak Bernam ke Batu Gajah sebelum ditahan polis. - Foto ihsan PDRM
Ketiga-tiga PATI ditemui bersembunyi dalam but kereta ketika merentas negeri dari Sabak Bernam ke Batu Gajah sebelum ditahan polis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BAGAN DATUK - Polis menggagalkan cubaan seorang pemandu kereta sewa untuk 'menyeludup' tiga lelaki warga Indonesia dalam but kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya di KM30 Jalan Feri, Hutan Melintang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, anggota bertugas Op Covid-19 Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menahan kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan lanjut di bahagian but menemukan lelaki berusia 36, 32 dan 18 tahun terbaring dalam keadaan berhimpit antara satu sama lain.

"Semakan yang dijalankan mendapati ketiga-tiga lelaki merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

"Pemandu kereta merupakan warga tempatan dipercayai menjadi 'transporter' untuk menghantar kesemua PATI dengan bayaran RM100 seorang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, kesemua mereka yang dalam perjalanan dari Sabak Bernam, Selangor menuju ke Batu Gajah didapati tidak mempunyai dokumen surat rentas negeri yang sah.

"Pemandu kenderaan terbabit direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membawa dan melindungi warganegara asing.

"Tiga lelaki warga asing itu pula ditangkap di bawah Seksyen (6)(1)(c) akta sama kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan: