Keberkesanan vaksin Sinovac, Pfizer sama

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Data perubatan menunjukkan penggunaan vaksin Sinovac dan Pfizer mempunyai keberkesanan yang sama dalam melawan virus pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan melalui data perubatan mengenai pengalaman Chile menggunakan vaksin Sinovac yang diterbitkan dalam laporan New England Journal of Medicine 7 Julai lalu.

“Tidak banyak perbezaan ditemui antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan secara praktikal.

“Kedua-duanya sangat efektif dalam mengelakkan penyakit teruk Covid-19 sehingga dimasukkan ke hospital, namun kurang berkesan menentang kesan ringan atau yang tidak mempunyai gejala," katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, laporan berkenaan menunjukkan seramai 4.2 juta penduduk lengkap divaksin berbanding 5.5 penduduk yang tidak divaksin bagi tempoh Februari hingga Mei tahun ini.

"Sinovac didapati mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

"Selain itu ia mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kematian sebanyak 86.3 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Israel turut menunjukkan vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan sebanyak 64 peratus.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kementerian itu juga menjelaskan, Pfizer menunjukkan keberkesanan sebanyak 93 peratus terhadap simptom yang menyebabkan kemasukan ke hospital dan gejala serius.

Pada Jumaat, kerajaan memutuskan untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mulai bulan depan manakala stok simpanan Sinovac hanya dikhususkan untuk mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin lain.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, pemberhentian pemberian vaksin Sinovac dalam PICK adalah kerana pembekalannya telah selesai dan tiada kaitan dengan soal keberkesanannya.