X

Kindly register in order to view this article
!

Polis kesan satu keluarga lompat pagar lolos kawasan PKPD

Tangkap layar rakaman video satu keluarga melompat pagar di kawasan PKPD petang semalam.
A
A

KUANTAN - Polis Kuantan sedang mengesan satu keluarga yang melarikan diri dengan melompat pagar sebuah taman perumahan di Kuantan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 18 sehingga 31 Julai ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sedang mengenalpasti identiti mereka dan meminta perakam video tampil bagi membantu siasatan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu enggan mematuhi perintah pegawai diberi kuasa dan boleh di kompaun RM3,000. Selain itu tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (SKMM) boleh dikenakan," katanya.

Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali
Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan di kawasan PKPD Sungai Isap pada Selasa.

Pada petang Isnin, satu rakaman video berdurasi 32 saat memaparkan satu keluarga melarikan diri menerusi pagar di kawasan taman perumahan yang dikenakan PKPD.

Dalam video terbabit turut memaparkan ada individu menunggu dengan kenderaan yang diletakkan di jalan besar berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mohamad Noor berkata, terdapat sebahagian tempat tidak dipasang kawat duri kerana ada tembok dan longkang kekal di situ.

Bagaimanapun selepas kejadian berkenaan katanya, polis akan memperketatkan pematuhan dan kawalan di kawasan PKPD bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan penularan pandemik Covid-19 ke lokasi lain," tegasnya.

Sebanyak 13 lokaliti PKPD di daerah Kuantan ialah Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sungai Derhaka, Kempadang, Sungai Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas dan Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum serta Taman Impianku.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!