Lima saudara terlibat kes samun ditahan

Antara suspek yang berjaya diberkas menerusi tangkapan dijalankan sekitar Kapar, Bukit Kapar dan Setia Alam.
Antara suspek yang berjaya diberkas menerusi tangkapan dijalankan sekitar Kapar, Bukit Kapar dan Setia Alam.
A
A
A

KLANG - Menyasarkan rumah yang sunyi sebelum melakukan jenayah samun antara modus operandi sekumpulan penjenayah yang dipercayai aktif di sekitar kawasan Kapar.

Bagaimanapun kumpulan yang dianggotai empat lelaki dan seorang wanita yang mempunyai kaitan keluarga antara satu sama lain ini berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya kesemua suspek pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan Bukit Kapar, Kapar dan Setia Alam.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, seorang suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah rumah di Bukit Kapar, Klang.

"Hasil siasatan lanjut kemudian membawa kepada penangkapan dua suspek lelaki di sekitar Kapar, seorang suspek wanita di Taman Seri Wangi Kapar dan seorang lagi suspek berjaya ditahan di Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam.

"Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 30-an," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Nurulhuda berkata, semakan rekod lampau mendapati empat suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah kekerasan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati modus operandi kumpulan terbabit menyasarkan rumah yang kurang penghuni dan tiada kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mendapati mereka akan tinjau dahulu rumah yang dijadikan sasaran, beberapa suspek akan 'standby' luar rumah, manakala beberapa suspek lagi akan memanjat pagar untuk masuk ke dalam rumah.

"Kesemua suspek menutup muka menggunakan baju dan salah seorang suspek akan bersenjatakan pisau," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.