X

Kindly register in order to view this article
!

Pembinaan hospital medan di Melaka ditangguhkan

Foto Bernama
A
A

ALOR GAJAH - Hasrat untuk membangunkan sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jasin bagi menyokong fasiliti kesihatan negeri terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, penangguhan tersebut dilakukan selepas pihak ATM memutuskan menyalurkan aset mereka kepada negeri yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi.

"Seperti sedia maklum, kita telah memohon kepada pihak ATM melalui Kementerian Pertahanan bagi pembinaan hospital medan di Jasin memandangkan kebergantungan kita hanya kepada Hospital Melaka.

"Tetapi dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri semalam, saya difahamkan ATM telahpun mengeluarkan aset-aset mereka ke negeri yang berjangkitan tinggi seperti Selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Mujid Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, pihaknya akan terus berusaha supaya hospital medan dapat diwujudkan di Melaka dan berharap ia dapat dipertimbangkan oleh kerajaan.

"Kita juga percaya Kementerian Pertahanan akan buat yang terbaik untuk menyediakan hospital medan di negeri ini memandangkan kadar katil unit rawatan rapi (ICU) sudah mencapai 100 peratus," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Hospital Melaka akan menerima 10 lagi katil ICU pada minggu hadapan.

"Begitu juga ventilator dan monitor yang sekarang masih berada di Singapura kerana peralatan ini sedang menunggu pelepasan dari kastam untuk dibawa masuk ke Melaka.

"Dalam masa sama, kita juga ada memohon pihak berkaitan untuk bersiap sedia menyediakan katil tambahan," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!