Inisiatif Gobok Rakyat Johor ringan beban penerima

 Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad (kanan) membantu salah seorang penerima mengambil keperluan asas yang diberikan oleh kerajaan Negeri Johor menerusi program Gobok Rakyat Johor di Pejabat Penghulu Mukim Jelutong Gelang Patah pada 11 Julai lalu. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad (kanan) membantu salah seorang penerima mengambil keperluan asas yang diberikan oleh kerajaan Negeri Johor menerusi program Gobok Rakyat Johor di Pejabat Penghulu Mukim Jelutong Gelang Patah pada 11 Julai lalu. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Golongan terkesan dengan pandemik Covid-19 di Johor mengakui pelaksanaan inisiatif Gobok Rakyat Johor telah membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Seorang suri rumah hanya ingin dikenali sebagai Nina, 37, berkata, sumber pendapatannya terjejas setelah hilang pekerjaan sejak hampir setahun lepas.

Ibu kepada tiga anak yang diberhentikan kerja pada September tahun lepas itu berkata, mereka sekeluarga kini hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebanyak RM1,100 sebulan.

"Mujurlah kerajaan membenarkan pengeluaran i-Sinar... jadi sedikit sebanyak dapatlah menampung keperluan kami sekeluarga selain bantuan keperluan makanan ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Selasa.

Nina yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berkata dia kini memfokuskan menjaga anak-anaknya berumur antara empat hingga 10 tahun selain mengamalkan kehidupan berjimat-cermat.

"Nak cari kerja sekarang pun bukan senang, jadi saya fokus kepada anak-anak dulu, tambahan pula kini Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya yang tinggal di Bandar Mersing.

Seorang pembantu kedai makan dikenali sebagai Nor, 38, yang diberhentikan kerja kira-kira sebulan lepas, bersyukur dapat menjimatkan perbelanjaan terutama menjelang sambutan Aidiladha.

Suaminya yang hanya bekerja kebun turut memanfaatkan Bantuan Prihatin Nasional dan menggunakannya secara berhemah.

Artikel Berkaitan:

Bagi peniaga makanan bungkus Kahalmiza Md Kundor, 44, dia mengakui pendapatannya terjejas apabila orang ramai kini lebih memilih untuk memasak sendiri berbanding membeli makanan di luar.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana lebih setahun lepas, pek makanan yang dihantar ke kedai makan kurang mendapat sambutan.

"Sebelum ini banyak guru yang membeli apabila balik dari sekolah, namun sejak PdPR dilaksanakan memang terasalah (kurang pendapatan). Oleh itu, bantuan keperluan makanan yang diterima ini dapatlah kurangkan beban kami sekeluarga," katanya yang turut menjaga ibunya berusia 80-an. - Bernama