PM sertai 300 jemaah tunai solat Aidiladha di Masjid Negara

Muhyiddin bersama Zulkifli menunaikan solat sunat Aidiladha diimamkan Imam Besar Masjid Negara Ehsan, Mohd Hosni di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin bersama Zulkifli menunaikan solat sunat Aidiladha diimamkan Imam Besar Masjid Negara Ehsan, Mohd Hosni di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini bersama 300 jemaah.

Ketibaan perdana menteri yang berjubah putih pada jam 8.16 pagi bersama isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Imam Besar Masjid Negara Ehsan, Mohd Hosni.

Muhyiddin dan para jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan diimamkan oleh Ehsan.

Sementara itu, Ehsan ketika menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk 'Cabaran dan Pengorbanan' berkata, ALLAH SWT telah menganugerahkan pelbagai kenikmatan kepada negara termasuk menyambut Aidiladha pada Selasa walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda.

"Tetaplah bersyukur dan memuji ALLAH SWT kerana semua yang berlaku di atas muka bumi ini hanya ALLAH yang maha mengetahui.

"Pada tahun ini kita masih menyambut Aidiladha dalam suasana yang mencabar dan kawalan pergerakan yang masih lagi diteruskan berikutan bilangan kes harian yang masih tinggi dan tidak menentu. Jagalah diri dan kesihatan," katanya.

Muhyiddin bersama Zulkifli mendengar khutbah Aidiladha bertajuk 'Pengorbanan' yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin bersama Zulkifli mendengar khutbah Aidiladha bertajuk 'Pengorbanan' yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walau apa pun yang berlaku, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan initipatinya.

Khutbah itu turut mengingatkan para pemimpin supaya menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

"Hentikan percakaran yang sia-sia dan bersimpatilah terhadap rakyat," katanya.

Ehsan juga menyeru para jemaah agar bersama-sama bermunajat kepada ALLAH SWT bagi memohon pertolongan supaya wabak dan musibah yang sedang melanda negara, diangkat.

Sejurus selesai khutbah Aidiladha, perdana menteri dilihat mula meninggalkan perkarangan masjid pada jam 9.05 pagi dengan diiringi Zulkifli. - Bernama