X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Enam lokasi konkrit PKPD termasuk laluan tikus dirosakkan

Salah satu lokasi penghadang konkrit di laluan tikus dalam kawasan PKPD dirosakkan.
A
A

SUNGAI PETANI - Polis mengesan enam lokasi termasuk laluan tikus di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, enam lokasi itu membabitkan lima di Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai, Sungai Lalang, manakala satu lokasi dikesan di Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang, Sungai Petani.

Menurut beliau, tindakan merosakkan dan mengalihkan pagar duri dan halangan yang dipasang di kawasan PKPD boleh dikenakan tindakan tegas.

"Siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Sungai Petani Utara pada malam, Isnin sempena Hari Raya Aidiladha.

Adzli berkata, pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kerja Raya telah membuat pembaikan semula di lokasi kerosakan konkrit dan pagar duri selain mengetatkan kawalan keselamatan.

"Jika terkesan sesiapa yang cuba keluar atau masuk kawasan PKPD tanpa kebenaran yang sah, tindakan boleh dikenakan mengikut Peraturan 6(1) PPDPPB (Langkah-langkah dalam kawasan tempat jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021 dan tindakan kompaun sejumlah RM3,000 boleh dikenakan.

"Jika kertas siasatan dibuka atau sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kerja pembaikan semula penghadang konkrit dilakukan di kawasan PKPD.
Kerja pembaikan semula penghadang konkrit dilakukan di kawasan PKPD.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, selain SJR di Plaza Tol Utara terdapat empat lagi SJR di Daerah Kuala Muda dilaksanakan antaranya Plaza Tol Sungai Petani Selatan, Plaza Tol Gurun, Tikam Batu dan Pinang Tunggal.

Adzli berkata, pihaknya masih mengesan dua lelaki yang didapati lari dari SJR yang disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Dalam pada itu, sebanyak 54 buah kenderaan diarah berpatah balik bermula 11 hingga 18 Julai 2021 lalu berikutan tidak mempunyai alasan munasabah bagi tujuan pergerakan.

Sebelum ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD membabitkan Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai di Sungai Lalang dengan anggaran 11,600 penduduk dan PKPD Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK membabitkan anggaran 300 penduduk bermula 5 hingga 18 Julai 2021.

Bagaimanapun, PKPD di kawasan itu dilanjutkan berkuat kuasa bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos depan berikutan terdapat penularan Covid-19 di kawasan terbabit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!