Moratorium hanya tangguh, bukan percuma

Moratorium mampu memberi waktu dan meringankan beban kewangan peminjam sewaktu pandemik Covid-19.
Moratorium mampu memberi waktu dan meringankan beban kewangan peminjam sewaktu pandemik Covid-19.
A
A
A

MORATORIUM merupakan satu bentuk penangguhan pembayaran hutang yang mampu memberi waktu dan meringankan beban kewangan peminjam di kala pandemik Covid-19, namun ia bukanlah percuma dan perlu dibayar balik.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, moratorium memberi waktu kepada peminjam menggunakan wang yang sepatutnya digunakan membayar ansuran bulanan kepada sesuatu yang lebih asas seperti makanan, sewa rumah, simpanan kecemasan dan lain-lain lagi.

"Kata kuncinya ialah menangguhkan waktu. Hakikatnya, bank adalah merupakan entiti komersial yang bermotifkan keuntungan dan pemegang-pemegang saham utama rata-ratanya terdiri daripada para pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sebagainya," ujar Mohd Afzanizam kepada Sinar Harian.

Katanya, bank pada dasarnya adalah pengantara kewangan antara mereka yang mempunyai lebihan dana (surplus unit) dan mereka yang memerlukan dana (deficits unit).

"Setiap pembiayaan yang diberi pula akan ada nilai prinsipal atau pokok pinjaman dan juga kadar faedah bagi perbankan konvensional atau kadar keuntungan bagi perbankan Islam.

"Bagi setiap pembiayaan yang diberi, akan ada perjanjian antara pihak bank dan peminjam yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk memasuki kontrak pembiayaan dan dalam perjanjian tersebut telah pun dinyatakan berapakah nilai prinsipal dan kadar faedah yang akan dibayar," katanya lagi.

Menurut Mohd Afzanizam, ia sama seperti para peniaga akan menjual produk dengan harga kos dan ditambah dengan margin atau kadar keuntungan.

"Justeru, bagi meminta keuntungan atau kadar faedah yang telah pun dipersetujui apabila memasuki kontrak pembiayaan untuk dihapuskan adalah sesuatu yang tidak wajar.

Artikel Berkaitan:

"Samalah seperti kita pergi ke kedai runcit dan hanya mahu membeli barang daripada peniaga tersebut dengan hanya mahu membayar harga kos," ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata dalam satu kenyataan, tiada guna kerajaan memberikan moratorium pinjaman bank selama enam bulan sekiranya peminjam masih perlu membayar kadar faedah terakru yang tinggi selepas tempoh moratorium berakhir.

"Kos keseluruhan meminjam yang lebih tinggi bagi mereka yang memilih moratorium ini telah diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia.

"Ia memberi amaran kepada peminjam walaupun bank tidak mengenakan faedah dikompaun atau 'penalty interest' ketika bayaran ditangguhkan, faedah akan masih dikenakan (terakru) untuk amaun yang ditangguh," kata bekas menteri kewangan terbabit.

Katanya lagi, ketika pihak bank masih mampu menikmati keuntungan pada waktu pandemik Covid-19, mereka harus mempunyai tanggungjawab sosial korporat terhadap lapan juta peminjam yang memohon moratorium.

Menyentuh kesan moratorium, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, ia berbeza mengikut jenis produk perbankan.

"Kesan moratorium adalah berbeza mengikut jenis produk perbankan. Ada produk perbankan yang merupakan pinjaman atau pembiayaan berkadar tetap, seperti pinjaman peribadi dan pinjaman kereta.

"Berdasarkan moratorium tahun lepas, pembiayaan hanya ditangguhkan selama enam bulan. Tiada caj tambahan dikenakan. Jadi tempoh bayaran ditambah selama enam bulan bagi menggantikan tempoh ketika moratorium," kata Ahmad Azrin kepada Sinar Harian.

Bagi pembiayaan kadar berubah seperti pinjaman rumah dan ASB, moratorium lalu menggariskan, faedah setiap bulan berjalan seperti biasa.

"Mengambil contoh pembiayaan ASB, walaupun tidak membayar, dividen tetap berjalan seperti biasa. Peminjam tetap memperoleh dividen penuh 12 bulan walaupun membayar cuma enam bulan (bagi yang bermula awal tahun).

"Cuma hutang terkumpul akan bertambah disebabkan faedah untuk enam bulan tersebut," katanya lagi.

Menurut beliau, tidak dinafikan moratorium membantu golongan yang terjejas, namun peminjam yang mendapat tunai tambahan menerusi moratorium perlu membayar kembali nilai tersebut.

Sama ada perlu atau tidak mengambil moratorium ini, jawapannya ya, bagi sesiapa yang terjejas pendapatan. Moratorium boleh membantu aliran tunai dan sedikit sebanyak mampu meringankan beban kewangan.

"Bagi yang tidak terjejas, pada saya, tidak perlu ambil. Jika diteruskan, peminjam perlu menanggung beban pada kemudian hari akibat daripada pertambahan jumlah hutang.

"Perlu diingat, bank adalah entiti berasaskan keuntungan. Bank mempunyai tanggungjawab yang besar kepada pihak depositor dan pihak pemegang saham.

"Jika kedua-dua pihak ini bersetuju untuk 'korbankan' keuntungan mereka, bank sebenarnya boleh memberi moratorium tanpa faedah bagi sebarang bentuk produk," katanya yang turut menyeru peminjam merujuk bank masing-masing kerana setiap bank berbeza penggunaan jenis kadar pembiayaan untuk produk tertentu.

INFO

Contoh pengiraan bayaran balik moratorium (untuk pinjaman kereta dan pinjaman peribadi yang menggunakan 'flat rate'.

*Untuk pinjaman rumah dan pelbagai pinjaman lain berbeza kerana pengiraan guna 'reducing balance'.

1) Option 1: Penangguhan 3 Bulan

Contoh ansuran RM3,000 sebulan yang terlibat dengan moratorium

RM3,000 X 3 bulan = RM9,000

Jadi RM9,000 yang layak untuk moratorium, perlu dibayar balik dalam tempoh 12 bulan

Pengiraan:

RM 9,000/12 bulan= RM750

Tamat moratorium, ansuran baru yang perlu dibayar kembali kepada bank selama 12 bulan adalah seperti berikut:

Ansuran baru = RM3,000 + RM750 (moratorium) = RM3,750

Selama 12 bulan kita bayar lebih RM750 untuk bayaran balik moratorium yang diambil.

RM750 x 12 bulan = RM9,000

Moratorium yang diterima, dibayar balik dalam tempoh 12 bulan selepas tamat moratorium.

2) Option 2: Penangguhan 6 Bulan

Untuk kes 6 bulan pula, bayaran tambahan yang sama RM750 sebulan tapi tempoh bayaran balik selama 24 bulan.

RM3,000 x 6 bulan = RM18,000 (moratorium)

RM18,000 ÷ 24 bulan = RM750

Selepas tamat moratorium, ansuran baru akan bertambah sebanyak RM750 sebulan.

RM750 sebulan bukan faedah. Tapi duit moratorium yang diambil dan dibayar balik dalam bentuk ansuran selama 24 bulan.

RM750 x 24 bulan = RM18,000

Moratorium adalah penangguhan bayaran dan perlu dibayar semula.