Sasaran Tokyo 2020 langkah berani, realistik

Zolkples Embong
Zolkples Embong
A
A
A

SASARAN tiga pingat termasuk sebutir emas oleh kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 merupakan satu langkah berani tetapi tidak mustahil dicapai.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, persediaan barisan atlet negara yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang membataskan penyertaan mereka dalam kejohanan antarabangsa menjadikan sasaran itu satu cabaran yang besar.

Bagaimanapun, Zolkples tidak menafikan kemampuan atlet negara kerana terdapat dalam kalangan atlet yang berupaya menggapai kejayaan bersejarah di Tokyo sekali gus membawa keceriaan kepada rakyat Malaysia di sebalik kemuraman akibat pandemik Covid-19.

“Saya ucapkan tahniah kepada menteri di atas pengumuman sasaran yang saya anggap satu langkah yang berani tetapi ia mampu dicapai. Lagi pun kita tidak boleh lari kerana kita nak tengok kontinjen negara memperbaiki pencapaian lalu.

“Perdana Menteri pun turut mengharapkan kontinjen negara untuk membawa pulang pingat emas pertama negara di Tokyo. Walaupun kita hanya raih satu pingat emas tanpa dapat pingat lain pun ia sudah dikira pencapaian terbaik,” katanya pada Isnin.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin mengumumkan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo diletakkan sasaran untuk meraih tiga pingat dengan satu daripadanya emas sementara sukan badminton, berbasikal trek dan terjun menjadi sandaran utama dalam misi itu.

Pada masa sama, bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi menganggap jumlah sasaran itu adalah realisitik berdasarkan tahap prestasi semasa barisan atlet negara menjelang temasya berprestij yang dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Beliau yang juga ahli kehormat MOM berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi ketiga-tiga sukan itu memandangkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Pandelela Rinong Pamg pernah menghadiahkan pingat buat negara pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azizulhasni meraih gangsa dalam acara keirin lelaki dan Pandelela yang beraksi bagi acara 10 meter (m) platform seirama wanita bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong merangkul perak.

Sieh pada masa sama mengingatkan para atlet supaya tidak gementar dalam membawa cabaran negara selain perlu mempunyai keyakinan tinggi untuk mengatasi lawan mereka di temasya berkenaan.

Sementara itu, legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek merasakan Mohd Azizulhasni mempunyai peluang lebih cerah berbanding atlet lain untuk menjadi individu yang menamatkan penantian pingat emas pertama negara di pentas Olimpik.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 turut berpendapat bahawa kem badminton negara terutamanya juara All England 2021 Lee Zii Jia dan beregu lelaki yang juga juara Sukan SEA 2019 di Manila, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu melakar kejutan di Tokyo.

“Ketiga-tiga pemain ini merupakan ‘underdog’ (bukan pilihan) pada temasya kali ini, jadi tekanan pastinya sedikit kurang dan seterusnya mampu membuat kejutan dengan menewaskan pemain ternama di Olimpik Tokyo,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang ditugaskan untuk menguruskan kontinjen negara di Tokyo menyifatkan atlet yang berjaya meraih pingat emas pertama negara bukan sahaja akan dianggap sebagai wira sukan, malah boleh dianggap sebagai wira negara.

“Cuma dalam keadaan pandemik Covid-19 yang kurangnya kejohanan ditambah dengan norma baharu untuk mendapatkan pingat emas bukan sesuatu yang mudah walaupun ini menjadi harapan negara,” katanya.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, tiada sebarang sasaran spesifik diletakkan buat kontinjen negara namun Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.

Pada temasya Olimpik kali ini, Malaysia akan diwakili oleh 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan. - Bernama