Datuk Seri didakwa terlibat penipuan skim pelaburan mata wang digital

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua tuduhan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu) dan satu pertuduhan di bawah seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (pengambilan deposit secara haram) membabitkan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM459,000 dan AS$100,000, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak dalam satu kenyataan berkata, tertuduh, Datuk Seri Chee Chin Soon, 50, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

“Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu dengan menawarkan skim pelaburan mata wang digital WOW Token dan mendorong mangsa memasukkan sekeping cek ke dalam akaun Syarikat Ewai Services berjumlah RM45,000 pada 6 November 2017.

“Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu dengan (skim sama) dan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai kepada tertuduh berjumlah RM414,000 pada 7 Ogos 2018,” katanya dalam kenyataan tersebut pada Isnin.

Menurut Mahidisham, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang deposit secara haram berjumlah AS$100,000 tanpa lesen yang sah pada 6 Julai tahun lalu.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 2 September depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000.

Artikel Berkaitan: