3,391 isi rumah terima Bakul Prihatin Negara setakat ini

Kerja-kerja penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara oleh sukarelawan Skuad Prihatin Negara di KPWKM, pada Khamis. Foto Bernama
Kerja-kerja penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara oleh sukarelawan Skuad Prihatin Negara di KPWKM, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,017 penerima melibatkan 3,391 isi rumah, telah mendapat manfaat daripada Bakul Prihatin Negara (BPN) yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Julai lalu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan memaklumkan, penerima terlibat adalah dari 48 daerah di 11 negeri, yang mengemukakan permohonan menerusi tiga saluran yang diaktifkan di bawah kementerian itu.

Berdasarkan statistik terkini pelaksanaannya, Kedah merupakan negeri paling tinggi merekodkan penerima, iaitu dengan seramai 279 orang.

Lima daerah yang mencatatkan penerima terbanyak di negeri tersebut ialah Baling dengan 59 orang, diikuti Kota Setar (53), Langkawi (40), Kubang Pasu (38) dan Pendang (23).

Program turut memanfaatkan seramai 738 penerima meliputi 31 daerah di 10 negeri iaitu Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Sarawak, Perlis, Selangor, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Program itu, secara keseluruhannya, melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pejabat Perdana Menteri dan sektor korporat memperuntuk dan menyumbang masing-masing RM5 juta dan RM16 juta, untuk pelaksanaannya di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan Kedah Halimaton Shaadiah Saad berkata, sebanyak 2,400 bakul makanan program itu akan diagihkan secara berperingkat, di semua daerah di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Ada daerah yang diperuntukkan 200 bakul makanan dan ada daerah akan dapat 100 bakul makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, pemberian bakul makanan itu diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang terkesan di Kedah, dengan situasi pandemik Covid-19 pada masa ini, sekali gus turut menunjukkan kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin, untuk memastikan rakyat yang terjejas diberikan bantuan sewajarnya.

Di Melaka pula, sebanyak 2,600 bakul makanan akan diagihkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh daerah di negeri itu, secara berperingkat mulai hari ini (Isnin).

Pengarahnya, Burhanuddin Bachik berkata, sebagai permulaan 600 BPN telah diagihkan sejak semalam di ketiga-tiga daerah di negeri itu.

“Sebagai pecahan agihan, Melaka Tengah akan menerima 1,000 BPN manakala masing-masing 800 bagi daerah Jasin dan Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, agihan bakul akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam aduan diterima, kepada penerima yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka.

Tambah beliau, jadual agihan adalah berdasarkan jumlah permohonan menerusi Talian Kasih atau Bilik Gerakan JKM serta rujukan pemimpin masyarakat. - Bernama