PKPD: Bakul makanan diagih kepada 1,400 penduduk

Penduduk mengambil barangan daripada anggota polis di PKPD Pangsapuri Merpati (A) di sini pada Isnin.
Penduduk mengambil barangan daripada anggota polis di PKPD Pangsapuri Merpati (A) di sini pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Bantuan bakul makanan selesai diagihkan kepada 1,400 penduduk di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Pangsapuri Merpati (A) Pandan Indah di sini, pada Ahad.

Pegawai Daerah Hulu Langat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain berkata, ia selaras dengan saranan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan bekalan bakul makanan disediakan kepada penerima di kawasan PKPD tidak lewat daripada 48 jam.

"Pejabat Ahli Parlimen Pandan dan DUN (Dewan Undangan Negeri) Pandan Indah turut menghulurkan sumbangan kepada penduduk di kawasan PKPD ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sebarang bentuk bantuan kepada penghuni Pangsapuri Merpati (A) akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Pengumpulan sumbangan barang oleh pemimpin tempatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hendaklah diselaraskan melalui jawatankuasa berkenaan dengan tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat," katanya.

Najmuddin berkata, pelaksanaan PKPD di pangsapuri itu bermula Ahad sehingga jam 11.59 malam 31 Julai ini.

Beliau berkata, kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan kebenaran polis.

"Kedai runcit sedia ada bagi pembekalan barangan asas dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sepanjang tempoh PKPD.

Artikel Berkaitan:

"Hanya seorang wakil dari sebuah unit rumah dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan di kedai atau mengambil barang dari tempat pengambilan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk ke kawasan Apartment Merpati (A) dalam tempoh PKPD berkuatkuasa.

"Semua rumah ibadat dan fasiliti sosial di dalam kawasan PKPD turut ditutup sepanjang tempoh PKPD. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan," katanya.

Najmuddin berkata, Pejabat Kesihatan Daerah akan membuka klinik kesihatan mini (sementara) bagi tujuan kegunaan dan keperluan penduduk dalam kawasan PKPD yang juga akan bertindak sebagai Covid-19 Assessment Centre (CAC).

Najmuddin memaklumkan sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Langat di talian 03-8925 4809 atau nombor talian bergerak +6011-6117 5078 dan Faksimili 03-8925 3678 atau emel aduanpdhl@selangor.gov.my.