Perbadanan Industri Muzik Malaysia bantu bangunkan industri

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kabinet meluluskan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM), sebagai badan khusus yang akan merangka dan memastikan pembangunan industri muzik tanah air diselaraskan secara holistik dan dilaksanakan dengan sinergi oleh pelbagai pihak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau optimis dengan penubuhan PIMM, beberapa isu dapat melibatkan industri muzik dapat diselesaikan antaranya royalti, pangkalan data penggiat muzik, pembiayaan ekonomi dan juga perspektif masyarakat terhadap industri muzik dapat diubah.

"Suasana muzik tanah air telah melalui satu perjalanan yang panjang, namun tidak ada satu agensi khusus yang bertanggungjawab menguruskan industri muzik. Jadi dengan adanya PIMM, kejayaan dalam bidang muzik dapat dilipat gandakan,” katanya pada sidang media secara maya pada Isnin.

Beliau berkata, PIMM yang diluluskan penubuhannya pada Rabu lepas, akan berperanan sebagai satu ekosistem industri muzik yang terbahagi kepada tiga bidang utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan muzik dalam negara.

Saifuddin berkata, PIMM juga akan menjadi penyelaras prasarana dan infrastruktur serta pengagihan insentif kewangan dan dana bagi tujuan pengembangan industri dan kebajikan penggiat industri.

Selain itu, kata beliau, PIMM turut akan berfungsi sebagai penggerak ke arah pembangunan dan memartabatkan industri muzik negara berteraskan ilmu dan pembudayaan kepada penghasilan karya dan bakat berkualiti tinggi, dan berdaya saing di pentas antarabangsa dan sebagai badan kawal selia yang memantau kemasukan lagu dari luar bagi mengawal budaya kuning.

Beliau berkata, kementerian kini dalam proses melantik jawatankuasa sementara bagi memulakan tugasan awal manakala ahli lembaga PIMM akan terdiri daripada wakil kerajaan dan juga industri.

Bagi pelan jangka panjang pula, Saifuddin berkata, Kumpulan Wang Perbadanan Industri Muzik juga akan diperkenalkan bertujuan membiaya aktiviti pembangunan dan industri dan persembahan yang dijangka diperkenal pada pertengahan Julai 2022.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin sebelum itu mengadakan sesi ramah mesra bersama penerima Dana Kandungan Digital Muzik yang telah menghasilkan program Hiburan Dari Rumah (HDR) yang antara lain berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi mereka sewaktu tempoh kawalan pergerakan ini. - Bernama