Hubungi BNMTELELINK jika peminjam hadapi masalah dengan pihak bank

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) meminta individu, perusahaan mikro serta kecil dan sederhana (PMKS) membuat aduan menerusi BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey sekiranya mereka menghadapi masalah dengan bank masing-masing mengenai bantuan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan.

Perkara itu merupakan antara empat tindakan yang sesuai dilakukan di bawah langkah #5 Bertindak mengikut Panduan Untuk Pilih Bantuan Bayaran Balik Pinjaman/Pembiayaan yang disediakan oleh FEN.

FEN merupakan kumpulan antara agensi yang dipengerusikan bersama BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan dianggotai antaranya oleh Kementerian Pendidikan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang bertujuan meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi catatan di media sosial, Instagram, panduan yang turut dikeluarkan di saluran sosial itu disediakan bagi membantu orang ramai membuat keputusan bijak dan wajar berhubung bantuan bayaran balik pinjaman.

Berdasarkan panduan berkenaan, lima langkah dititikberatkan sebelum membuat keputusan berhubung bantuan balik iaitu #1 Ketahui; #2 Pertimbangkan; #3 Tanya; #4 Nilaikan dan #5 Bertindak.

Mengikut langkah dua, FEN mahu peminjam mempertimbangkan situasi semasa sama ada benar-benar memerlukan bantuan, pendapatan berkurangan atau mampu membayar balik dalam memilih moratorium enam bulan, mengurangkan bayaran ansuran atau terus membayar balik.

“Hubungi bank untuk mengurangkan bayaran ansuran, atau teruskan membayar balik jika mampu, atau hubungi AKPK di services.akpk.org.my jika pinjaman telah tertunggak melebihi 90 hari,” jelasnya.

Berdasarkan langkah #3 Tanya, FEN menggalakkan orang ramai bertanya kepada bank antaranya mengenai jumlah bayaran ansuran selepas bantuan berakhir, kadar faedah yang dikenakan ke atas bayaran ansuran bulanan yang ditangguhkan serta tindakan yang perlu dilakukan jika pendapatan peminjam masih terjejas selepas bantuan itu tamat.

Artikel Berkaitan:

“Anda juga perlu tanya kepada bank apa yang akan terjadi kepada bantuan yang sedang diterima jika anda penerima bantuan bayaran balik sedia ada,” menurut panduan itu.

Mengikut langkah #4 Nilaikan, peminjam perlu tahu faedah akan terus dikenakan oleh bank atas jumlah ansuran yang ditangguhkan dan tiada ‘faedah atas faedah’ atau caj penalti lewat bayar akan dikenakan sepanjang tempoh moratorium.

Selain itu, di bawah #5 Bertindak, FEN meminta orang ramai menghubungi AKPK melalui services.akpk.org.my untuk mendapatkan khidmat nasihat atau pilihan bantuan bayaran balik alternatif.

Peminjam boleh mendapatkan khidmat nasihat percuma daripada Perancang Kewangan Berlesen SmartFinance FPAM melalui bit.ly/3js5zrm, tambahnya.

Sebelum ini, BNM telah mengeluarkan kenyataan bahawa peminjam individu serta perusahaan mikro, kecil dan (PMKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai 7 Julai, 2021.

Pada 28 Jun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20 serta usahawan mikro.

Beliau berkata, tidak ada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada pemohon telah hilang pekerjaan dan dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. - Bernama