X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

PPV SCCC lapor segera kes positif Covid-19 kepada KKM

Gambar hiasan.
A
A

PUTRAJAYA - Pihak pengurusan pusat pemberian vaksin (PPV) Setia City Convention Centre (SCCC) di Shah Alam telah mengambil tindakan segera dengan melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) selepas tujuh petugasnya dikesan positif Covid-19 pada 11 Julai, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

CITF dalam satu kenyataan hari ini berkata 11 kontak rapat juga telah dikenal pasti dan telah diminta melaksanakan saringan Covid-19 serta melakukan pengasingan kendiri sementara menunggu keputusan.

Menurut CITF, keputusan ujian saringan terhadap kesemua 11 kontak rapat itu adalah negatif, manakala kawasan dikenal pasti di PPV berkenaan juga telah disanitasi segera oleh pengurusan SCCC.

Kenyataan CITF itu adalah susulan laporan sebuah portal yang mendakwa terdapat kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas PPV SCCC namun pengurusan PPV terbabit dikatakan tidak memaklumkan kepada petugas lain mengenai kes mahupun menjalankan saringan Covid-19 secara besar-besaran.

Mengenai dakwaan terdapat pesakit Covid-19 yang hadir untuk menerima vaksin di PPV SCCC, menurut CITF terdapat penerima vaksin dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang telah melepasi tempoh kuarantin dibenarkan menerima vaksin dengan bukti surat pelepasan yang dikeluarkan Pusat Kesihatan Daerah dan mereka dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Hal berkenaan juga termaktub dalam Garis Panduan Klinikal mengenai Vaksinasi Covid-19 di Malaysia, Edisi Kedua.

PPV SCCC dibuka sejak 7 Jun lepas telah mengendalikan proses vaksinasi kepada kira-kira 230,000 individu sehingga 17 Julai, menurut CITF.

CITF berkata, prosedur operasi standard (SOP) digunakan di semua PPV termasuk PPV SCCC termasuk arahan mematuhi penjarakan fizikal serta memantau petugas dan sukarelawan terlibat secara berterusan jika terdapat gejala.

Badan itu berkata semua PPV di bawah program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan juga mengikut Panduan Pengudaraan Dan Kualiti Udara Dalaman Bagi Tetapan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Dalam Tempoh Pandemik Covid-19 seperti yang ditetapkan KKM.

"CITF akan terus memastikan semua PPV mematuhi garis panduan yang telah disediakan serta menjalankan amalan SOP yang sepatutnya bagi memastikan tiada risiko penularan jangkitan berlaku di mana-mana PPV, pada ketika jangkitan kini menular dalam kalangan komuniti (sporadik)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!