Lelaki berang ditegur tak pakai pelitup muka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara ditegur tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki bertindak memaki hamun seorang wanita bersama ibunya dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Desa Bakti pada petang Sabtu.

Perbuatan lelaki itu dirakam oleh seorang individu yang kemudiannya menularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supritenden Basri Sagoni berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika wanita dan ibunya sedang menjual nasi lemak.

"Siasatan awal polis melalui video itu mendapati suspek dilihat memarahi dan memaki hamun ibu pengadu dan seorang pelanggan lain apabila ditegur tidak mematuhi SOP di tempat awam.

"Kejadian ini dirakamkan oleh seorang wanita menggunakan telefon bimbitnya sebelum berkongsi rakaman kejadian tersebut kepada mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

"Orang awam dinasihatkan tidak melakukan sebarang spekulasi berkaitan video tular ini kerana bimbang mewujudkan kegusaran masyarakat.

"Sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, tular satu video di media sosial memaparkan seorang individu yang memaki hamun dua wanita selepas ditegur tidak memakai pelitup muka.