X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Azmin mahu rakyat teladani sejarah nabi sebagai kekuatan masa depan

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu rakyat menjadikan tauladan dalam sirah atau sejarah nabi-nabi untuk memberikan kekuatan dan mendepani cabaran masa kini.

Beliau berkata, kesabaran dan keyakinan amat penting untuk menjamin penyelesaian yang holistik demi kemaslahatan pada masa akan datang.

"Meskipun Aidiladha tahun ini menuntut kita untuk berkorban dalam dimensi yang lain, kita harus yakin bahawa ia penting bagi melindungi kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga.

"Patuhi peraturan dan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan, amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan demi kesejahteraan kita bersama.

"Saya berdoa ke hadrat ALLAH SWT, semoga kesabaran hari ini akan mencipta keagungan masa hadapan," katanya sempena Perutusan Aidiladha 1442H pada Isnin.

Mohamed Azmin dalam kenyataannya turut menyingkap kembali sirah pengorbanan dan kesabaran Nabi Ismail ketika baginda masih bayi dan dibawa untuk merantau jauh dari tempat kelahirannya oleh kedua ibu bapanya iaitu Siti Hajar dan Nabi Ibrahim ke Makkah.

Menerusi kisah tersebut, Nabi Ismail dan ibunya kemudian ditinggalkan di Makkah yang ketika itu merupakan belantara padang pasir tanpa tubuh-tumbuhan.

Sirah itu juga mengungkapkan kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah untuk mencari air buat Nabi Ismail yang kehausan.

"Dalam kesusahan ada kesenangan. Dari tumit kakinya yang dihentak ke bumi, terbit mata air. Dari mata air dibina telaga zam zam yang menarik suku Jurhum untuk menetap di Makkah.

"Nabi Ismail membesar di kalangan suku Jurhum dan mengahwini wanita dari suku tersebut," jelasnya.

Katanya, apabila Nabi Ibrahim kembali semua ke Makkah, baginda membawa firman ALLAH mengenai mimpi diperintahkan untuk menyembelih Nabi Ismail.

"Pedoman agung dari peristiwa yang diabadikan sempena Hari Raya Aidiladha setiap tahun adalah kesabaran dan keyakinan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Ilahi.

"Dengan kesabaran dan keyakinan, Makkah maju membangun dari belantara padang pasir kepada kota yang padat penduduknya.

"Telaga zam zam memberi kehidupan. Nabi Ibrahim bersama puteranya Nabi Ismail membina semula Baitullah dan menjadikan Makkah sebagai pusat ibadah," kata Mohamed Azmin.

Ujar beliau, daripada keturunan Nabi Ismail, muncul Nabi Muhammad yang merupakan nabi terahir yang membawa Islam sebagai rahmatan lil alamin atau rahmat kepada semua.

"Ajaran Islam yang pada awalnya dicemuh dan ditindas, kini tersemat dalam kalbu dan nurani manusia dengan kesabaran dan keyakinan dakwah Rasulullah SAW sehingga menjadikan Islam sebuah tamadun yang gemilang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!