X

Kindly register in order to view this article
!

Agong, permaisuri zahir harapan umat Islam sabar rai Aidiladha

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar umat Islam di negara ini terus cekal, bersabar dan bersyukur kerana masih diberi kesihatan serta kekuatan menyambut Aidiladha pada tahun ini dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.

Dalam kenyataan menerusi Facebook Istana Negara pada Ahad, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di luar negara.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita kerana buat kedua kalinya umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna ini seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.

"Seri Paduka Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit-pesakit Covid-19 dan dalam usaha-usaha memerangi pandemik ini sejak tahun lalu," menurut kenyataan itu.

Justeru, Seri Paduka Baginda berdua menyeru seluruh umat Islam di negara ini tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam meraikan perayaan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan menyeru umat Islam di negara ini untuk bersama Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!