Kes pukul tular: Dua wanita, tiga lelaki didenda RM4,000

Dua daripada tiga lelaki dan dua wanita yang yang terlibat dalam kes memukul seorang lelaki secara beramai-ramai sehingga tular di media sosial minggu lepas, dikenakan denda RM4,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret pada Isnin. - Foto Bernama
Dua daripada tiga lelaki dan dua wanita yang yang terlibat dalam kes memukul seorang lelaki secara beramai-ramai sehingga tular di media sosial minggu lepas, dikenakan denda RM4,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Lima daripada enam individu termasuk dua wanita yang terlibat dalam kejadian pukul dan video mengenainya tular di media sosial minggu lepas didenda RM4,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fakhrudin Mat Zain, 47; Siti Nor Farah Shazlina Supian, 33; Siti Munirah Rizan, 22; Samsuddin Mohamad Sidik, 45; dan Muhammad Syahrul Fahmi Abdullah, 24; selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah memerintah mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Seorang lagi tertuduh Nur Ashikin Rozaini, 23, seorang penganggur juga didakwa atas pertuduhan sama, namun menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas fakta kes dibacakan.

Mahkamah membenarkan ibu tunggal itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos untuk sebutan semula kes.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan rusuhan di tempat awam sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang buruh, Mohamad Hamdi Hanafi, 30, di beberapa bahagian anggota badannya.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pasir Tumboh dekat sini pada 5 petang, 13 Julai lepas, mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku semasa Mohamad Hamdi melintas jalan seorang diri di lokasi berkenaan, kemudian seorang lelaki tidak dikenalinya yang memandu sebuah kenderaan bersama tiga penumpang wanita berkata, kepada mangsa "mung gilo ko" (kamu gila ke).

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, mangsa bertindak menendang pintu kereta bahagian pemandu sehingga berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan kemudiannya pemandu serta beberapa individu memukulnya.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Samhana Aidenan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dan mereka juga mengalami masalah pendapatan.

Katanya, Mohd Fakhrudin dan Samsuddin masing-masing bekerja sendiri manakala tertuduh yang lain tidak mempunyai pekerjaan berikutan terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli memohon hukuman setimpal kerana tertuduh telah menimbulkan ketidaktenteraman awam selain untuk memberi pengajaran kepada mereka serta orang awam. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Buruh dibelasah selepas bertengkar kerana bunyikan hon

Tujuh suspek pukul pejalan kaki direman tiga hari