X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Sasaran tiga pingat termasuk satu emas

Reezal Merican
A
A

KONTINJEN Malaysia meletakkan sasaran tiga pingat dengan salah satu daripadanya kilauan emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sasaran itu realistik selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk krisis pandemik Covid-19 sebelum temasya Olimpik Tokyo bermula.

"Ini bukan saja dihadapi Malaysia, malah seluruh dunia.

Jepun sendiri memutuskan untuk tidak meletakkan sasaran dan lebih memberi tumpuan kepada kesihatan walaupun pada peringkat awal mereka menetapkan 30 pingat emas.

"Jadi mengambil perkiraan itu, kita perlu menyederhanakan harapan atau sandaran kita berkaitan pingat.

Saya yakin dan tahu semua rakyat Malaysia inginkan pingat emas.

"Daripada tiga pingat ini, tentu sekali satu daripadanya adalah kilauan emas yang ditunggu-tunggu," katanya pada sidang media secara maya selepas Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Putrajaya sebentar tadi.

Tanpa bekas jagoan badminton, Datuk Lee Chong Wei yang menghadiahkan pingat perak dalam tiga temasya sebelum ini, tumpuan kini terarah kepada jaguh lumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu kilauan emas sulung Olimpik.

Azizulhasni prospek dalam menyumbang emas pertama Olimpik buat kontinjen Malaysia.
Azizulhasni prospek dalam menyumbang emas pertama Olimpik buat kontinjen Malaysia.

Selain Azizulhasni, pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England pada Mac lalu dianggap sebagai antara prospek terbaik untuk menjelmakan kilauan emas pada temasya Olimpik kali ini.

Malah, ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang meraih gangsa pada Olimpik London 2012 dan perak (Rio 2016) turut disebut-sebut menjadi sandaran untuk membawa pulang pingat emas dari bumi Tokyo.

Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, kontinjen Malaysia diwakili 30 atlet (12 lelaki dan 18 wanita) yang bakal beraksi dalam 27 acara membabitkan 10 jenis sukan.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia telah mengumpul keseluruhan 11 pingat sejak bekas beregu badminton handalan yang juga gandingan adik beradik, Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Sidek Jalani meraih gangsa pada Olimpik Barcelona 1992.

Pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di pentas Olimpik adalah pada edisi Rio 2016 apabila skuad badminton diketuai Chong Wei membawa pulang tiga pingat perak; satu perak menerusi acara terjun dan satu gangsa (lumba basikal trek).

Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran tiga pingat dengan salah satu daripadanya kilauan emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran tiga pingat dengan salah satu daripadanya kilauan emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Tiga pingat perak lagi disumbangkan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Pandelela-Cheong Jun Hoong (10 meter platform seirama) manakala gangsa disambar Azizulhasni dalam acara keirin.

Dalam pada itu, Reezal Merican turut mengumumkan sasaran tiga pingat emas bagi kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hujung bulan depan.

"Secara realistiknya, kami mengambil perkiraan sasaran yang diletakkan adalah untuk menyamai pencapaian tiga emas yang dicapai pada Paralimpik Rio 2016.

Sandaran adalah kepada olahraga, powerlifting, badminton dan memanah," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Olimpik: Kontinjen negara selamat tiba di Tokyo, bebas Covid-19


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!