'Kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan lebih 1,000 setiap hari'

Veerapan
Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di negeri ini berjalan lancar untuk menangani kenaikan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, bagaimanapun usaha itu wajar dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan.

"Sehingga Sabtu lepas kecuali pada Ahad kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan melebihi 1,000 kes setiap hari dan keadaan ini amat membimbangkan.

"Saya berpendapat vaksin merupakan satu-satunya jalan keluar daripada pandemik ini dan kerajaan Negeri Sembilan turut memberikan keutamaan kepada warga emas dan individu yang mempunyai penyakit atau komorbid dalam fasa vaksinasi semasa dan nama mereka diambil daripada MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Justeru menurut beliau, kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri dalam meningkatkan kadar vaksinasi seperti di Selangor perlu dilaksanakan juga di seluruh Negeri Sembilan dan bukan di kawasan utara sahaja.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Operasi Lonjakan Kapasiti akan diperluaskan ke kawasan Utara Negeri Sembilan, Selatan Perak dan Barat Pahang sebagai tindakan segera menangani kenaikan mendadak kes positif Covid-19.

Katanya, jawatankuasa khas Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang memutuskan perkara itu bagi memastikan lonjakan kes yang berpusat di kawasan ibu negara dapat dikawal.

Dalam pada itu, Veerapan turut menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) supaya mempercepatkan dan meningkatkan kapasiti harian pemberian vaksin kepada pekerja kilang melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini pemberian vaksin kepada pekerja kilang perlahan dan kes positif dari sektor perindustrian antara penyumbang terbanyak.

"Pemberian vaksin melalui Pikas juga perlu ditingkatkan dengan cepat dan berkesan diselesaikan sebelum Ogos ini," katanya.