Penuntut universiti ditahan terlibat sindiket edar dadah

Mustafa Kamal (kanan) bersama Mohd Shuhaily memeriksa lori yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah berkenaan.
Mustafa Kamal (kanan) bersama Mohd Shuhaily memeriksa lori yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah berkenaan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penuntut universiti awam antara lima ditahan selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah pada 16 dan 17 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, semua suspek berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun ditangkap dalam beberapa serbuan di Georgetown.

Menurutnya, polis merampas 24.6 kilogram (kg) ganja dan menyita sebuah lori dalam serbuan pertama di tepi jalan di Gelugor.

"Dalam serbuan pertama itu, polis menahan tiga lelaki ketika mereka sedang memunggah ketulan mampat ganja tersebut dari sebuah lori untuk disimpan di sebuah pangsapuri berdekatan.

"Susulan daripada itu, polis menjalankan pemeriksaan di kediaman tersebut dan menjumpai 1.9 kg heroin serta 16.8 gram ganja," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Isnin.

Katanya, polis kemudian menyerbu sebuah lagi pangsapuri di kawasan sama dan merampas wang tunai RM7,000.

"Wang itu dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah. Kami juga menyita sebuah Perodua Myvi selain menahan dua lagi lelaki di kawasan Georgetown.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini beroperasi sejak lima bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Bekalan dadah tersebut diperoleh dari sebuah negeri di utara. Kesemua dadah berkenaan disimpan di pangsapuri yang disewa sebelum diedarkan di sekitar negeri ini," katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM83,175 iaitu 24.6 kg ganja dan 1.94 kg heroin.

"Dadah ini boleh digunakan oleh 60,000 penagih jika terlepas di pasaran.

Kami turut menyita sebuah Perodua Myvi, wang tunai RM7,000 dan motosikal Yamaha Y150.

"Nilai sitaan dan dadah yang dirampas berjumlah RM138,175.

Kesemua suspek positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.

Mereka direman sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, polis menyita 66 barangan kemas bernilai RM284,085 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam siri serbuan di Seberang Perai, dekat sini baru-baru ini.

"Semua barangan kemas itu disimpan di sebuah syarikat lokar keselamatan di Seberang Perai sejak tiga tahun lalu.

Ia dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah sindiket tersebut.

"Susulan rampasan tersebut, ia menjadikan nilai sitaan kes itu adalah RM1.5 juta termasuk wang tunai RM790,000, sembilan buah kenderaan dan barangan kemas, "katanya.

Pada 12 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan sepasang kekasih ditahan bersama dua lelaki selepas didapati terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di dua lokasi berbeza.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam serbuan pertama di hadapan sebuah rumah teres satu tingkat di kawasan Perai pada jam 8.30 malam itu berjaya menahan dua lelaki berusia 42 dan 34 tahun bersama 27 bungkusan dadah jenis syabu seberat 29.1 kg.

ARTIKEL BERKAITAN:Pasangan kekasih ditahan bersama RM1.4 juta dadah