10,972 kes positif covid-19 hari ini

Petugas kesihatan membantu pesakit Covid-19 yang tidak bermaya ketika tinjauan sekitar jam 10 pagi di Pusat Penilaian Covid-19 Stadium Shah Alam hari ini. Foto Bernama
Petugas kesihatan membantu pesakit Covid-19 yang tidak bermaya ketika tinjauan sekitar jam 10 pagi di Pusat Penilaian Covid-19 Stadium Shah Alam hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia masih merekodkan angka melepasi 10,000 untuk dua hari berturut-turut dengan 10,972 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat kepada 927,533.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih menjadi penyumbang utama kes baharu dengan 4,404 kes dikesan di negeri berkenaan.

Ini diikuti Negeri Sembilan dengan 1,340 kes, Johor (876), Kedah (705), Sabah (651), Kuala Lumpur (609), Pahang (475), Melaka (474), Pulau Pinang (426), Perak (324), Sarawak (301), Kelantan (170) dan Terengganu (144).

Putrajaya pula mencatatkan 48 kes, Labuan (24) dan Perlis dengan satu kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah 10,972 kes baharu, terdapat 48 kes import dan 10,924 kes lagi merupakan penularan dalam negara membabitkan 8,950 warga tempatan serta 1,974 warga asing.

Sebanyak 26 kes atau 0.2 peratus berada dalam kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 42 kes atau 0.4 peratus kategori empat (memerlukan bantuan oksigen), 103 orang atau 0.9 peratus kategori tiga (radang paru-paru), 4,464 orang atau 40.7 peratus kategori dua (bergejala ringan) dan 6,337 kes atau 57.8 peratus lagi berada di kategori satu (tiada gejala).

“Terdapat sebanyak 128,997 kes aktif dilaporkan termasuk 915 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 435 pesakit lagi memerlukan bantuan pernafasan,”katanya.

Beliau berkata 129 kes kematian direkodkan membabitkan 118 rakyat tempatan dan 11 warga asing, menurun sedikit berbanding 153 kes dicatatkan semalam.

Artikel Berkaitan:

Kes kematian itu melibatkan 61 orang di Selangor, 14 (Perak), 11 (Kuala Lumpur), masing-masing 10 (Negeri Sembilan dan Melaka), sembilan (Johor), masing-masing tiga (Sarawak dan Terengganu), masing-masing dua (Sabah, Pulau Pinang dan Perak) serta masing-masing satu (Kelantan dan Labuan).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian, setakat ini ialah 7,148 orang manakala pesakit yang telah sembuh seramai 6,439 orang.

Menurutnya, KKM juga mengesan 31 kluster baharu dengan 18 berkaitan tempat kerja, lapan melibatkan komuniti, masing-masing dua membabitkan pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster import.

Dr Noor Hisham juga memberitahu kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (RT) direkodkan Malaysia semalam adalah 1.15 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu iaitu 1.27, diikuti oleh Putrajaya (1.26) dan Kedah (1.24).

Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Sabah (1.21), Selangor (1.17), Pulau Pinang dan Pahang (1.16), Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (1.15), Johor, Melaka dan Perak (1.12) serta Kelantan (1.10).

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata KKM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Malaysia yang akan menyambutnya esok.

“Semoga kita mengambil pengajaran di sebalik erti pengorbanan dan menghayatinya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, tiada petugas kesihatan yang sudah divaksinasi sepenuhnya dijangkiti Covid-19 kategori lima yang perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Beliau mendedahkan daripada 3,465 petugas kesihatan yang sudah divaksinasi sepenuhnya tetapi dijangkiti virus itu, masing-masing hanya tiga kes dalam kategori tiga (radang paru-paru) dan kategori empat (memerlukan bantuan oksigen) sementara baki 2,327 kes (67.2 peratus) dalam kategori dua (bergejala ringan) dan 1,132 kes (37.6 peratus) dalam kategori satu (tiada gejala). - Bernama