Jerebu boleh berlaku jika pembakaran terbuka tidak terkawal: JAS

JAS mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh menyumbang kepada berlaku jerebu ketika musim panas dan kering yang sedang melanda negara.
JAS mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh menyumbang kepada berlaku jerebu ketika musim panas dan kering yang sedang melanda negara.
A
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar ketika musim cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, antara tempat yang sering dilakukan pembakaran secara haram adalah tapak pelupusan sampah, belukar serta lalang pada musim panas.

Menurutnya, sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 374 aduan pembakaran terbuka di Pulau Pinang iaitu peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 355 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Sebanyak 72 peratus daripada jumlah ini melibatkan pembakaran terbuka yang dikesan berpunca daripada pembakaran sampah sarap manakala 13 peratus adalah berpunca daripada pembakaran sisa-sisa pembersihan di kebun-kebun sementara bakinya pembakaran di kawasan pembinaan, industri, belukar dan lain-lain.

"Statistik menunjukkan pembakaran terbuka sampah sarap yang dikesan sering kali berlaku di kawasan perumahan termasuk kawasan lapang atau padang.

"Selain itu, pembakaran terbuka di tapak sampah haram juga menunjukkan bilangan yang agak tinggi direkodkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Sharifah Zakiah berkata, daripada jumlah pembakaran terbuka yang direkodkan, daerah Timur Laut telah mencatatkan rekod tertinggi iaitu 36 peratus diikuti pembakaran terbuka di Daerah Barat Daya (24 peratus), eberang Perai Tengah (21 peratus), Seberang Perai Utara (sembilan peratus) dan Seberang Perai Selatan (10 peratus).

Tambahnya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), negara kini berada pada musim Monsun Timur Laut dengan taburan hujan akan berkurangan hingga pertengahan bulan September.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Stesen Meteorologi TUDM Butterworth, Seberang Perai telah merekodkan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari berturut-turut.

"Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat Stesen Pengawasan Udara di Pulau Pulau menunjukan IPU sederhana iaitu antara indeks 73 hingga 85.

"Fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa hujung Julai ini hingga September. Selain daripada itu, titik-titik panas dari luar negara juga berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JAS sentiasa dalam keadaan bersiap siaga mengambil beberapa langkah untuk menangani isu pembakaran terbuka.

Tambahnya, rondaan pencegahan pembakaran terbuka dan pencemaran masih diteruskan secara intensif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya lagi, JAS juga turut menjalankan tugas-tugas sampingan untuk pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis industri dan sebahagian tapak binaan di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit 1988 (Akta 342) setelah menerima pewakilan kuasa daripada Kementerian Kesihatan.

"Bagi mencegah pembakaran terbuka, JAS turut meningkatkan kempen-kempen kesedaran melalui pemasangan papan tanda larangan pembakaran terbuka di lokasi-lokasi yang strategik, hebahan melalui media massa, sesi penerangan kepada pihak berkepentingan dan sebagainya.

"JAS juga menjalankan pengawasan kualiti udara melalui stesen pengawasan automatik. Di Pulau Pinang terdapat empat stesen automatik bagi memantau status kualiti udara di seluruh negeri Pulau Pinang iaitu di Stesen Seberang Jaya, Seberang Perai dan dua stesen di sebelah pulau iaitu di Minden dan Balik Pulau.

Selain itu, JAS sentiasa menjalankan pemantauan dan rondaan mencegah pembakaran terbuka. Pemantauan juga akan dibuat menggunakan drone bagi mengenal pasti lokasi-lokasi kebakaran terutama yang sukar dimasuki.

"Rondaan ini termasuk pada hujung minggu dan cuti umum bagi memantau kawasan yang sering diadu berlakunya kejadian pembakaran terbuka oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah. Di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelasnya, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.