'Kompaun sudah diserahkan kepada MB Kedah'

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sudah menyerahkan kompaun kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila memandu uji sebuah kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam di sini, pada bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain bagaimanapun enggan memaklumkan nilai kompaun yang dikenakan kepada Pengarah Pilihanraya Pas Pusat itu.

"Kompaun telah diserahkan semalam, nilai kompaun tanya pada tuan badan sendiri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Isnin.

Kes Muhammad Sanusi sebelum itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Kedah tidak pandu uji, beli kereta ketika 'total lockdown'

Siasatan dilakukan susulan penularan gambar dan video di media sosial memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di Autocity Juru.

Video dan gambar itu dimuat naik seorang pengguna di Facebook yang mempersoalkan tindakan berkenaan.

Muhammad Sanusi dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) kira-kira jam 6.30 petang 5 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pandu uji kereta: MB Kedah sedia dikenakan tindakan

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily memaklumkan sebanyak 30,406 kenderaan diperiksa pada Sabtu dan 40 daripadanya diarah berpatah balik.

Mohd Shuhaily berkata, pada Ahad, 25,608 kenderaan telah diperiksa dan 190 daripadanya diarahkan berpatah balik.

"Kita masih menjalankan 46 sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang. Semua kenderaan yang diarah berpatah balik didapati tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa.

"Saya mengingatkan orang ramai tidak merentas negeri atau daerah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dan sekatan jalan raya juga akan diperketatkan.

"Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pandu uji kereta: Polis keluar kompaun terhadap MB Kedah