Pinjaman tidak wujud: 18 individu termasuk remaja ditahan

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas daripada sindiket pada sidang akhbar pada Isnin.
Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas daripada sindiket pada sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 18 individu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam talian melibatkan kerugian RM3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, kesemua individu yang berusia lingkungan 16 hingga 23 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Batu Feringghi, di sini pada 15 Julai lalu.

Menurutnya, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Emas Satu pada jam 1 pagi dan menahan 12 individu termasuk dua wanita.

"Ketika serbuan, kesemua suspek berada di ruang tamu di rumah tersebut.

Siasatan awal mendapati, salah seorang daripada suspek merupakan penyewa kediaman tersebut manakala suspek bawah umur tidak bersekolah.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 34 buah telefon bimbit, dua buah komputer riba dan 14 keping kad ATM (mesin juruwang automatik) pelbagai bank," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Mohd Rosni berkata, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Solok Sungai Emas, Batu Feringghi pada hari sama lalu menahan lima lelaki dan seorang wanita, disyaki ahli sindiket yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Dalam serbuan itu, kita merampas 10 buah telefon bimbit, sebuah komputer riba dan 11 keping kad ATM pelbagai bank. Hasil semakan, nombor telefon bimbit yang digunakan oleh mereka terlibat dalam 21 kes yang dilaporkan di 12 buah negeri termasuk Pulau Pinang.

"Sindiket ini akan menukar lokasi operasi mereka di sekitar negeri ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kedua-dua kediaman tersebut disewa oleh salah seorang ahli sindiket dengan bayaran RM3,500," katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati, modus operandi sindiket ialah menawarkan pinjaman wang kepada mangsa melalui Facebook dan Instagram dengan memuat naik iklan pinjaman wang bagi menarik minat mangsa.

"Mangsa akan diminta mengisi maklumat peribadi dan jumlah pinjaman yang dipohon melalui pautan yang diberikan.

Selepas itu ahli sindiket akan menghubungi mangsa dan meminta membuat pelbagai bayaran wang proses sebelum pinjaman tersebut diluluskan.

"Ahli sindiket akan memberi pelbagai alasan bagi meyakinkan mangsa. Bagaimanapun, selepas mangsa membuat bayaran, panggilan mereka akan disekat oleh ahli sindiket," katanya.

Ujarnya, semua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud secara dalam talian dengan berperanan sebagai operator panggilan.

"Sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu.

Kesemua ahli sindiket dibayar gaji di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Sindiket ini mampu memperoleh keuntungan di antara RM300,000 hingga RM500,000 sebulan.

"Salah seorang daripada tangkapan merupakan ketua kepada sindiket di Pulau Pinang.

Kita percaya, sindiket ini mempunyai rangkaian hampir di seluruh negara. Usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Peraturan 5(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.