1MDB: Roger Ng tarik balik rayuan berkaitan ikat jamin

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan ikat jamin yang difailkan sementara menunggu prosiding ekstradisi ke Amerika Syarikat untuk berdepan tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya membatalkan rayuan berkenaan.

Peguam Ng, Datuk Tan Hock Chuan sebelum itu memaklumkan mahkamah bahawa Ng mengetepikan prosiding ekstradisi selepas bersetuju untuk pulang ke Amerika Syarikat di Mahkamah Sesyen pada 15 Februari lepas, mengikut persetujuan yang dicapai dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Beliau berkata Ng berhasrat untuk membela diri dalam kes itu atas merit di mahkamah di daerah timur New York.

Hock Chuan berkata atas alasan berkenaan, anak guamnya menarik balik rayuan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab. Rahman memberitahu mahkamah, beliau tidak membantah penarikan balik rayuan oleh Ng, atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 47.

Pada 23 Oktober tahun lepas, pendakwaan menerima permohonan daripada kerajaan AS bagi waran tangkap sementara terhadap Ng.

Pada November tahun lepas, Ng ditahan polis dan kemudiannya direman selama 60 hari sementara menunggu pendengaran permohonan kerajaan untuk mengekstradisi Ng ke Amerika Syarikat untuk berdepan tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Ng memfailkan permohonan untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran prosiding ekstradisinya itu tetapi permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 13 Disember tahun lepas.

Pada 15 Februari lepas, Ng bersetuju untuk diekstradisi AS bagi menghadapi tiga pertuduhan jenayah dan memohon kepada Mahkamah Sesyen untuk mengetepikan prosiding ekstradisi terhadapnya.

Pada 19 Disember 2018, Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-Nota Terjamin anak syarikat 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta material dan membuat pernyataan tidak benar.