100 kg ikan ketutu, kelah dirampas

Pegawai penguat kuasa Maqis memeriksa peti yang mengandungi 100 kg ikan ketutu dan ikan kelah yang cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa pernit di pintu masuk Maqis Pelabuhan Lumut, pada Isnin.
Pegawai penguat kuasa Maqis memeriksa peti yang mengandungi 100 kg ikan ketutu dan ikan kelah yang cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa pernit di pintu masuk Maqis Pelabuhan Lumut, pada Isnin.
A
A
A

LUMUT - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak merampas satu peti berisi ikan ketutu dan kelah seberat 100 kilogram (kg) yang cuba diseludup masuk ke negara ini pada Isnin.

Maqis Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, ikan yang dianggarkan bernilai RM10,000 cuba dibawa masuk dari Indonesia itu ditahan di pintu masuk Maqis Pelabuhan Lumut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai Maqis mendapati peti berkenaan berisi 90kg ikan ketutu manakala 10kg lagi ikan kelah tanpa Permit Import Maqis.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang dikeluarkan Maqis merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Maqis menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Maqis berharap pihak pengimport sentiasa mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan terpelihara.

Artikel Berkaitan: