Konflik tidak halang usaha Afghanistan tarik pelaburan asing

Konflik berterusan di Afghanistan tidak menghalang negara ini untuk terus berusaha menarik pelaburan asing termasuk dari negara seperti Malaysia. - Gambar hiasan
Konflik berterusan di Afghanistan tidak menghalang negara ini untuk terus berusaha menarik pelaburan asing termasuk dari negara seperti Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik berterusan di Afghanistan tidak menghalang negara ini untuk terus berusaha menarik pelaburan asing termasuk dari negara seperti Malaysia.

Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar yang mula berkhidmat di sini pada September 2019 berkata, pihaknya berusaha untuk meningkatkan jumlah dagangan dua hala antara Kabul dan Kuala Lumpur selain memperkukuhkan hubungan di bidang lain.

Kebiasaannya mana-mana negara yang menghadapi konflik, selalunya terselindung pelbagai peluang, sehubungan itu beliau mengajak komuniti perniagaan Malaysia meneroka dan mengenal pasti peluang yang ada.

“Dalam waktu terdekat diharap beberapa perjanjian dapat ditandatangani antara kedua-dua negara terutama dalam bidang pendidikan tinggi, perdagangan dan perniagaan,” katanya ketika diwawancara Bernama.

Negara yang dihuni 35 juta penduduk itu sedang bangkit selepas bergelut dengan perang saudara selama beberapa dekad walaupun masih terdapat cabaran politik dan keselamatan.

Rakyat Afghanistan terus mendambakan keamanan yang berkekalan menerusi rundingan damai yang sedang berlangsung dengan Taliban.

Duta itu berkata, pelabur Malaysia dialu-alukan untuk melabur dalam industri perlombongan kerana kekayaan mineral yang belum diterokai bernilai AS$3 trilion, berpotensi besar untuk memulihkan semula ekonomi, kemakmuran dan taraf hidup rakyat Afghanistan.

Afghanistan antara lain dilaporkan mempunyai rizab bijih besi, emas, tembaga, niobium, kobalt, molibdenum, aluminium dan perak.

Artikel Berkaitan:

Sektor lain yang turut mempunyai potensi pelaburan termasuk pertanian, industri berasaskan pertanian, pembangunan infrastruktur dan teknologi maklumat.

Selain itu, menurutnya, adalah amat penting bagi Malaysia mempunyai Konsulat atau Kedutaan di Kabul untuk memperkukuh hubungan dua hala serta kemudahan mendapatkan visa terutama bagi ahli perniagaan yang ingin mengintai peluang dan penuntut Afghanistan yang berminat menyambung pengajian di Malaysia.

"Kami mencadangkan kerajaan Malaysia melantik duta yang ditauliahkan ke Kabul sebagai langkah pertama untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua negara terutama untuk memperluas dagangan dan perniagaan," katanya.

Buat masa ini, rakyat Afghanistan terutama pelajar dan ahli perniagaan perlu ke India atau Dubai untuk mendapatkan visa ke Malaysia.

Spinghar berkata, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit merupakan eksport terbesar Malaysia ke Afghanistan yang menjadi antara faktor mengukuhkan hubungan dagangan Malaysia-Afghanistan.

Pada Mei 2017, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan Dewan Perniagaan & Industri Afghanistan memeterai memorandum persefahaman untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Malaysia-Afghanistan untuk memacu lagi hubungan perniagaan dan perdagangan. - Bernama