X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Tiada vaksin kayangan atau marhaen

Tiga jenis vaksin yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.
A
A

SHAH ALAM - Mencapai imuniti kelompok merupakan senjata terbaik dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, justeru kini bukanlah masa untuk memilih atau membandingkan vaksin mana yang lebih hebat.

Profesor Madya Dr Siti Norbaya Masri daripada Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, virus seperti Covid-19 dan SARS CoV-2 tidak memilih untuk menjangkiti siapa.

“Oleh itu, tidak wajar untuk kita memilih-milih jenis vaksin. Lagi lambat vaksinasi lagi tinggi risiko dijangkiti sama ada bergejala atau tidak,” ujar Dr Siti Norbaya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut beliau, semua vaksin yang dihasilkan wajib melalui ujian efikasi sebelum dipasarkan.

Efikasi adalah ujian keberkesanan vaksin semasa kajian dijalankan di lapangan.

“Sedikit perbezaan hasil kajian bagi setiap jenis vaksin tidak bermakna sesuatu jenis vaksin itu lebih baik daripada jenis yang lain.

“Ini kerana kajian-kajian tersebut dilakukan di negara berbeza dan pada musim berbeza.

“Sebagai contoh, kajian vaksin Pfizer dilakukan di Amerika Syarikat (AS) semasa awal pandemik dan kadar jangkitan masih rendah berbanding kajian vaksin-vaksin lain di mana jumlah kes berbeza-beza mengikut negara dan gelombang waktu.

“Itu belum mengambil kira faktor populasi kajian dan virus varian. Jadi, menilai keberkesanan vaksin mengikut jenis vaksin adalah tidak adil,” katanya lagi.

Ketika ini terdapat tiga jenis vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia. Foto: Bernama
Ketika ini terdapat tiga jenis vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia. Foto: Bernama

Tambah pakar mikrobiologi klinikal itu, keberkesanan vaksin yang sebenar boleh dilihat menerusi data dari negara-negara yang telah mendapat vaksin seperti AS dan United Kingdom.

“Negara-negara tersebut telah hampir mencapai imuniti kelompok dan di sesetengah tempat rakyatnya boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Singapura sebagai contoh menggunakan vaksin Moderna dan Pfizer, serta telah berjaya mengawal pandemik Covid-19,” katanya.

Dr Siti Norbaya menambah, isu membandingkan vaksin timbul antaranya disebabkan kebanjiran maklumat di media sosial termasuk maklumat kurang tepat tentang sesuatu vaksin.

Keadaan ini mengelirukan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

“Faktor berikutnya, kefahaman masyarakat tentang vaksin berbeza mengikut umur, latar belakang pendidikan serta pergaulan.

“Seterusnya, terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan keberkesanan vaksin dan mempengaruhi orang lain,” katanya lagi.

Jelas beliau, pada saat negara masih belum menang menentang pandemik Covid-19 yang semakin mengerikan, orang ramai patut sedar kepentingan mendapatkan vaksin secepat mungkin tanpa perlu ada persoalan atau keraguan.

Terdahulu, terdapat segelintir pihak yang membandingkan kehebatan vaksin-vaksin tertentu malah ada yang menolak menerima suntikan Sinovac.

Terdapat juga tindakan dan pendapat kononnya ada vaksin berdarjat kayangan dan ada pula bertaraf marhaen.

Ketika ini terdapat tiga jenis vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia. Ketiga-tiganya berbeza mengikut cara pembuatan iaitu vaksin mRNA (Pfizer), vaksin vektor virus (AstraZeneca) dan vaksin virus nyahaktif (Sinovac).

Tiga hari lalu, Kementerian Kesihatan turut memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada dua lagi vaksin Covid-19 iaitu Sinopharm dan Johnson & Johnson (Janssen) untuk kegunaan semasa kecemasan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!