Pincangnya tanggapan negara gagal

No Image Caption
A
A
A

LABUAN hari ini melonjak di kaca mata nasional kerana kejayaannya memerangi varian Delta.

Sebelum ini, Labuan diklasifikasi sebagai zon merah sehingga suatu masa kadar R-Naught wilayah itu dikatakan telah melangkaui 2.4 - lebih tinggi daripada paras kebangsaan.

Pasukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Labuan merangka strategi melawan gelombang terbaharu itu dengan gandingan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Langkah efektif dikenal pasti dan dilaksanakan dengan cekap. Hari ini Labuan berjaya dikeluarkan dari zon merah dan menjadi panduan untuk kita menangani varian Delta yang lebih berbahaya serta agresif.

Krisis ini sememangnya menduga kemampuan fikiran, kebolehan pelaksanaan dan ketahanan masyarakat. Sejak 16 bulan lalu, dunia mengalami musibah pandemik global berbahaya, mengancam nyawa dan kehidupan dengan penguncupan ekonomi global paling teruk sejak Perang Dunia Kedua.

Malaysia tidak terkecuali. Tahun lalu kita berjaya melangkah ke depan dengan pelbagai strategi ekonomi dan kesihatan awam.

Tahun ini gelombang varian Delta menimbulkan cabaran baharu bagi kita.

United Kingdom dengan 67 juta penduduk, minggu ini menyaksikan kadar jangkitan meningkat lebih 50,000 kes harian. Netherlands dengan populasi hanya 17 juta, minggu ini mencatatkan lebih 11,000 kes harian sehari.

Artikel Berkaitan:

Jika ada melemparkan cemuhan mengatakan Malaysia ‘negara gagal’ - merujuk hanya sekali imbas terhadap kesukaran melanda perniagaan, isi rumah dan individu serta kerajaan yang bertungkus lumus dalam keadaan politik tidak sempurna, maka perkara sama boleh diperkatakan tentang kebanyakan negara di dunia yang sedang bergelut dengan gelombang Covid-19.

Kerajaan dan jentera birokrasi tidak asing daripada kepincangan dan jauh daripada sempurna.

Namun, Labuan saya angkat sebagai contoh apabila terdapat gandingan sepadu antara kerajaan pusat dan pelaksanaan di peringkat tempatan.

Hasilnya, daripada merah berubah hijau, daripada sakit berubah sembuh dan daripada bahaya berubah selamat. Ibarat pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.

Maka, dengan akal dan pemikiran sebegitulah, saya sering ingatkan pasu-kan sekretariat Pelan Pemulihan Negara di bawah Kementerian Kewangan untuk mengambil pendekatan inklusif dalam melaksanakan pelan tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu pada 16 Julai, kerajaan bersetuju agar Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) menggantikan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Antara keputusan dipersetujui MPN adalah untuk memastikan Pelan Pemulihan Negara melibatkan penyertaan pakar-pakar, NGO dan wakil daripada industri.

MPN juga akan memperjelaskan prosedur operasi standard (SOP) dan mengesyorkan kelonggaran sektor serta aktiviti bersesuaian untuk pertimbangan MKN.

Berbalik kepada kemampuan negara harungi pandemik, saya kemukakan beberapa fakta untuk renungan:

1. Ekonomi terus terpelihara demi melawan ancaman pandemik

Ekonomi perlu terus dipelihara kerana ia menjamin negara terus mempunyai sumber dan kemampuan meneruskan perang melawan Covid-19. Baru bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P dan Moody's masing-masing memberi penarafan A- and A3 kepada Malaysia.

Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesebuah negara yang dianggap ‘gagal’.

Asas ekonomi negara masih teguh walaupun impak Covid-19 telah menggasak perdagangan domestik dan antarabangsa.

Prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran modal masih utuh, sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam.

Kerajaan setakat ini memperkenalkan lapan pakej stimulus dan bantuan rakyat - keseluruhannya bernilai lebih RM530 bilion demi menyokong ekonomi, rakyat dan perniagaan.

Pakej-pakej inilah yang telah membela nasib lebih sejuta perniagaan mikro dan PKS, memelihara lebih 2.7 juta pekerja daripada dihentikan pekerjaan, memberi bantuan tunai langsung kepada 10 juta individu dan keluarga, menyalurkan bantuan makanan kepada lebih sejuta penerima, malah meyakinkan industri perbankan melaksanakan moratorium pinjaman enam bulan.

Sudah tentu, ada antara 32 juta rakyat kita tercicir daripada mendapat pertolongan seperti bantuan makanan. Menyedari perkara inilah kerajaan memberikan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen tanpa mengira parti untuk membantu golongan rentan dan memerlukan di kawasan masing-masing.

Di perbatasan kesihatan pula, saya ingin kemukakan beberapa fakta:

1. Kadar vaksinasi - meningkatkan usaha secara pantas dan efektif

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mengatasi sasaran awal 300,000 dos dan kini mencecah angka 400,000 dos sehari.

Berdasarkan statistik, Malaysia berada di antara 10 negara paling tinggi kadar vaksinasi harian di dunia.

Analisis terkini menunjukkan Malaysia mampu mencapai 75 peratus imunisasi penduduknya dalam masa tiga hingga empat bulan. Sejak awal PICK dilaksanakan, kerajaan dengan pantas membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh pelosok negara.

2. Kadar jangkitan dan ujian saringan Covid-19

Kadar kes harian yang meningkat sememangnya membimbangkan.

Kadar kes harian yang tinggi juga harus mengambil kira ujian Covid-19 kini semakin giat dijalankan menyebabkan lebih banyak kes dapat dikesan.

Virus sudah merebak dalam komuniti secara rawak dan kes sporadik menyumbang kepada hampir 80 peratus kes harian.

Jelas hari ini, kadar saringan yang dilakukan Malaysia pada skala setiap sejuta penduduk adalah antara lima hingga 10 kali lebih tinggi berbanding Thailand, Filipina dan Indonesia.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah meyakinkan kita bahawa PKP akan menampakkan hasil dalam masa terdekat dengan menurunkan angka kadar jangkitan.

Tambahan pula, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah memberi pencerahan data yang menunjukkan kadar kematian dan penghospitalan pesakit akan menurun apabila vaksinasi mencapai 30 hingga 40 peratus penduduk. Ia sasaran yang semakin dalam jangkauan negara.

Jika kita lihat statistik pada 16 Julai, dari 12,541 kes, hampir 99 peratus adalah kes kategori 1 dan 2 iaitu sama ada tiada gejala atau bergejala ringan.

No Image Caption

Dengan peningkatan vaksinasi terutama dengan pelancaran Operation Surge Capacity yang menyasarkan semua penduduk dewasa Kuala Lumpur dan Selangor berjumlah 6.1 juta menerima vaksinasi dos pertama menjelang 1 Ogos 2021, jumlah kes serius dijangka terus menurun, sekali gus mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan awam.

Sememangnya, tiada langkah kerajaan mahupun pentadbiran yang 100 peratus sempurna.

Setiap negara yang memerangi Covid-19 akan menghadapi cabarannya tersendiri.

Begitu juga kita hari ini, negara perlu menangani cabaran tersendiri bagi mengimbangi nyawa dan rezeki rakyat.

Di sinilah Pelan Pemulihan Negara memainkan peranan dengan menzahirkan satu panduan jelas buat rakyat dan industri melangkah ke hadapan.

Pernah saya katakan sebelum ini dan menjelang Pelan Pemulihan Negara ini, saya ulangi - kegagalan bukanlah pilihan kita - tidak dulu dan pastinya tidak kini.

Teguh kita, maka menanglah rakyat Malaysia bersama. Insya-ALLAH.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan