Boleh pecah rekod Rio 2016

Peng Soon dan Liu Ying menghadiahkan pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Peng Soon dan Liu Ying menghadiahkan pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.
A
A
A

KONTINJEN Malaysia mampu melakar keputusan lebih baik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berbanding kejayaan meraih empat perak dan satu gangsa dalam temasya Rio 2016.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad berkata, keyakinan itu disandarkan selepas tiada perubahan drastik dalam tiga sukan utama yang menjadi prospek pingat - lumba basikal (trek), badminton dan terjun pada Olimpik kali ini.

“Saya melihat secara umumnya pencapaian pingat boleh lebih baik berbanding ketika Olimpik Rio 2016. Kita ada empat tahun untuk bersedia selepas pencapaian terbaik kita di Rio.

“Atlet yang kita harapkan masih beraksi iaitu dalam sukan berbasikal, badminton dan terjun. Semua masih dengan atlet yang sama ketika di Rio, cumanya kali ini ketiadaan Datuk Lee Chong Wei. Sebab itu saya katakan atlet kita boleh dapat lebih baik berbanding di Rio.

“Tetapi, setiap kali kita menghadapi Sukan Olimpik atau sukan lain, kedudukan atlet kita itu tidak konsisten daripada dulu. Itu masalah yang perlu dihadapi sejak sekian lama,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan sasaran pingat Olimpik Tokyo 2020 pada Isnin dengan sandaran sudah tentu masih diletakkan kepada tiga sukan utama iaitu berbasikal, badminton dan terjun.

Mengulas lanjut, Mazlan turut mengakui pandemik Covid-19 mungkin memberikan kesan kepada persembahan dan prestasi atlet yang akan bertanding di Tokyo nanti.

“Dalam keadaan Covid-19 secara umumnya semua prestasi atlet yang mengambil bahagian akan terjejas. Sekiranya atlet kita dapat mengatasi cabaran tersebut dan bersedia sebaik mungkin maka mereka boleh berjaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan barisan atlet negara supaya menanam tekad memberikan yang terbaik dalam usaha mencari kilauan emas sulung pada temasya Olimpik kali ini.

“Dalam sukan ini kita tak boleh putus harap untuk menang emas walaupun kita masih belum pernah menang sebelum ini. Itulah kriteria utama yang perlu ada pada setiap atlet.

“Saya harap atlet dapat memberikan satu persembahan terbaik dan dapat memberikan satu keputusan yang menggembirakan buat rakyat Malaysia yang sudah lama menantikan kilauan emas Olimpik,” ujarnya.