Berhenti bela penceroboh HSK Batu Talam

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Gerakan Rakyat Pahang Bersatu (Gerap1) meminta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berhenti membela pekebun haram durian musang king yang menceroboh tanah Hutan Simpan Kekal (TSK) Batu Talam.

Presidennya, Mohd Fazren Datuk berkata, tindakan pemimpin MCA yang cuba berunding dengan kerajaan Pahang supaya pekebun haram dibenarkan memasuki hutan itu disifatkan seperti membelakangkan kedaulatan undang-undang.

"Tindakan Sin Woon yang cuba berunding mengikut 'pintu belakang' dilihat sengaja mencabar undang-undang dan sangat bermotif politik.

"Walaupun banyak Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu memberi peringatan kepada Sin Woon dan MCA agar tidak campur tangan dan menghormati undang-undang, beliau tetap berdegil dan cuba menggunakan pintu belakang untuk menyelesaikan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 13 Julai lalu, Sin Woon mahu berunding dengan kerajaan Pahang bagi pihak pekebun haram,namun Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tetap bertegas mahu menangani isu itu mengikut perundangan dan prosedur yang betul.

Pada 14 Julai lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan peneroka haram memasuki kawasan HSK Batu Talam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekebun haram tidak dibenarkan masuk ambil barang: JPNP

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Mohd Fazren berkata, kewibawaan Wan Rosdy dan kerajaan Pahang memainkan peranan menangani isu berkenaan dengan memartabatkan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, JPNP membuat keputusan tepat dari sudut perundangan di samping menggambarkan ketegasan dan iltizam jabatan itu dalam memastikan HSK di Pahang tidak dicabuli oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Gerap1 mengucapkan tahniah kepada Wan Rosdy dan kerajaan Pahang atas kewibawaan yang ditunjukkan. Kita juga menasihatkan individu, pertubuhan, atau parti politik terutamanya dari luar negeri Pahang menghormati keputusan kerajaan negeri dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengancam keharmonian negara," katanya.