Tidak wajar berhentikan pekerja ketika Covid-19

Mohamed Shafie BP Mamal
Mohamed Shafie BP Mamal
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memandang serius tindakan HSBC Bank Malaysia yang memberhentikan pekerja ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mamal berkata, tindakan bank tersebut tidak wajar kerana mereka tidak mengalami sebarang kerugian.

Tambah beliau, tindakan itu menunjukkan pihak bank itu tidak mengambil peduli titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya majikan tidak membuang pekerja sewenang-wenangnya ketika pandemik Covid-19.

“UNI-MLC menegaskan semua pihak perlu bersedia melakukan pengorbanan bagi meringankan beban rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan ahli-ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Antarabangsa Malaysia (NUBE) terhadap 93 aduan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne.

Aduan itu dibuat ekoran keputusan HSBC Bank Malaysia yang memutuskan membuang pekerja atas nama Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Bersama (MSS).

Mohamed Shafie berkata, sebagai sebuah bank multinasional yang telah beroperasi lebih 130 tahun, pengurusan HSBC sepatutnya faham kesukaran yang dialami oleh pekerja dengan tindakan mereka menutup 13 cawangan di seluruh negara.

“Ia bukan tindakan yang jujur dan ikhlas oleh pihak HSBC yang mengaut keuntungan secara berterusan dan menikmati pelbagai keistimewaan dasar perniagaan di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta HSBC berbincang dengan kesatuan sekerja bagi menyelesaikan isu tersebut.

“HSBC harus menggunakan formula ‘situasi menang-menang’ terutama ketika krisis sekarang demi menjaga kepentingan semua pihak bukannya mengambil kesempatan dengan menawarkan VSS dan MSS untuk membuang pekerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Shafie turut mengingatkan syarikat multinasional termasuk HSBC supaya belajar menghormati dasar negara dan sama sekali tidak mengkhianati nasihat dan arahan yang diberikan oleh ketua negara dan kerajaan.