Penutupan penuh kilang beri kesan buruk kepada ekonomi

Penutupan penuh sektor perkilangan yang menyumbang jumlah eksport lebih RM1 trilion setiap tahun akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara. Gambar hiasan
Penutupan penuh sektor perkilangan yang menyumbang jumlah eksport lebih RM1 trilion setiap tahun akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penutupan penuh sektor perkilangan yang menyumbang jumlah eksport lebih RM1 trilion setiap tahun akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau sebaliknya menyokong supaya tindakan bersasar dan penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan ke atas kilang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta menunjukkan peningkatan kes Covid-19.

“Apabila kita bercakap tentang kluster, kita sering merujuk kepada perkilangan, pembinaan, peruncitan dan beberapa kategori lagi. Sebenarnya dalam konteks kluster, sekitar 15 ke 20 peratus sahaja (daripada keseluruhan kes).

“Namun untuk terjemahkan bahawa semua kilang kena tutup, itu tidak betul. Tidak semua kilang berhadapan dengan kes yang melonjak,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di akhbar Sinar Harian hari ini.

Noor Azlan berkata, kilang-kilang di negara ini memainkan peranan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang penting kerana sebahagian besarnya berada dalam jaringan pembekalan antarabangsa dan penutupan tanpa sebab akan menjejaskan pengeluaran syarikat gergasi yang pembekalnya beroperasi di Malaysia.

Beliau juga berkata, tujuh pakej rangsangan ekonomi kerajaan bernilai kira-kira RM530 bilion dengan sekitar RM83 bilion suntikan langsung seperti bantuan Program Subsidi Upah (PSU) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh merangsang pertumbuhan ekonomi selain membantu kelangsungan hidup rakyat.

Noor Azlan berkata, jumlah suntikan langsung itu menyamai dua tahun perbelanjaan pembangunan kerajaan dan jumlah besar tersebut memberi kesan sehingga tiga kali ganda (kesan pengganda) kepada ekonomi negara.

“Bayangkan kalau saya daripada keluarga penerima BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) dan saya berbelanja, bererti pusingan yang pertama mungkin kedai runcit tempat saya belanja dapat manfaat. Kedai runcit itu pula, dia berbelanja dengan beli barang untuk stok kedai yang akan jadi pusingan kedua dan begitulah seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan mengambil kira komponen kesihatan, rakyat dan perniagaan dengan penumpuan khusus kepada kumpulan rentan.

Mengulas kewajaran individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 diberikan keistimewaan seperti kebenaran untuk keluar bekerja, Noor Azlan berkata perkara itu wajar dipertimbang berdasarkan beberapa faktor bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita perlu ingat apabila mereka bergerak, mereka berbelanja,” katanya. - Bernama