Cadangan penetapan had umur atlet berprestasi tinggi perlu kajian

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

KAJIAN menyeluruh perlu dilakukan sekiranya mahu menetapkan had umur bagi atlet berprestasi tinggi, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Malaysia (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata, umur bagi atlet prestasi tinggi bermula pada usia 17 tahun selepas mereka menamatkan alam persekolahan dan lazimnya memerlukan tiga kitaran Olimpik atau 12 tahun bagi mereka mencapai kemuncak prestasi.

“Umur bawah 17 tahun masih dalam proses pembentukan dan pembangunan bakat, kita masih sedang mengasah bakat itu. Selepas itu, baru mula tempoh persaingan, bersaing dengan atlet lain, di sini baru kita tahu sejauh mana atlet ini boleh pergi.

“Contohnya, Datuk Lee Chong Wei mula menyertai Olimpik pada 2004 (ketika berumur 22 tahun), berakhir pada Rio 2016 dengan kemuncak prestasi (pada umur 34 tahun, sebelum bersara pada 2019),” katanya ketika sesi libat urus Visi Sukan Negara (VSN) 2030 mengenai Sukan Prestasi Tinggi yang diadakan secara maya pada Ahad.

Ahmad Shapawi berkata demikian sebagai menjawab cadangan menetapkan had umur bagi atlet berprestasi tinggi yang dikemukakan oleh seorang peserta sesi libat urus itu.

Beliau berkata, terdapat juga sukan seperti menembak, boling dan boling padang yang perlu diambil kira dengan kebiasaan atlet menjadi lebih matang dan bertambah baik seiring peningkatan umur menerusi pengalaman yang diperoleh mereka.

“Jadi contohnya kalau nak menurunkan ke 24 atau 25 tahun, mereka belum cukup matang. Kita masih ada atlet berumur 29 atau 30 tahun yang berada pada prestasi baik,” katanya.

Pada sesi selama tiga jam itu yang melibatkan hampir 300 peserta daripada pelbagai peringkat, Ahmad Shapawi turut mengakui wujudnya ketidakseimbangan dalam meneruskan pembangunan bakat sukan dari peringkat sekolah ke universiti yang perlu diberikan tumpuan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menggerakkan Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu bagi merekodkan data-data berkaitan sukan dan pembangunan bakat di pelbagai peringkat dari seluruh negara.

“Sebaik sahaja bakat dikenal pasti dan dilatih, seseorang perlu memasukkan rekod bakat itu, apa keadaannya ketika itu dan ia kekal sampai dia pencen. Pada peringkat awal hanya di peringkat dalaman KBS, nanti akan dikongsi di semua peringkat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada persatuan sukan kebangsaan bahawa kejohanan remaja kebangsaan perlu diberi keutamaan dan harus kekal sebagai kemegahan bagi setiap atlet junior di negara ini. - Bernama