35 kenderaan cuba rentas Kelantan diarah patah balik

35 kenderaan yang dipercayai cuba memasuki Kelantan melalui dua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dan daerah di Gerik diarah berpatah balik. - Gambar hiasan
35 kenderaan yang dipercayai cuba memasuki Kelantan melalui dua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dan daerah di Gerik diarah berpatah balik. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sebanyak 35 kenderaan yang dipercayai cuba memasuki Kelantan melalui dua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dan daerah di Gerik diarah berpatah balik.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, arahan itu dikeluarkan hasil pemeriksaan di Kilometer 89 Jalan Gerik-Kuala Kangsar dan Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli setakat jam 4 petang pada Ahad.

Menurutnya, masih ada pergerakan rentas negeri dan daerah di kedua-dua SJR berkenaan atas pelbagai urusan termasuk menggunakan surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Bertindak atas arahan Ketua Polis Negara berkaitan kebenaran pergerakan ini, terdapat kenderaan diarah berpatah balik ketika pemeriksaan dilakukan membabitkan 16 kenderaan di SJR JRTB Gerik-Jeli dan 19 lagi di Jalan Gerik-Kuala Kangsar.

"Daripada jumlah itu, 27 kenderaan dikesan mengemukakan surat MITI yang bukan berkaitan petrol dan makanan," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan itu, dua kenderaan dikenakan arahan sama kerana mengemukakan tarikh janji temu penerimaan vaksin Covid-19 yang berbeza manakala tiga kenderaan didapati tidak memiliki surat kebenaran polis dan surat permit polis pula bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Secara keseluruhan kenderaan yang melalui jalan raya telah berkurangan sebanyak 30 peratus berbanding sebelum ini.

"Bagaimanapun masih terdapat pergerakan rentas negeri dan daerah atas urusan pasangan jarak jauh (PJJ) yang melibatkan negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan bagi tujuan vaksinasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang sebarang pergerakan merentas negeri menggunakan surat kebenaran dikeluarkan MITI bermula 18 Julai hingga Rabu ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

ARTIKEL BERKAITAN:Pasangan jarak jauh antara punca pertambahan kenderaan ke Kelantan