4,839 kenderaan diarah patah balik pada Jumaat: TPM

4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya diarah berpatah balik Jumaat lepas (16 Julai), jumlah tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan. - Gambar hiasan
4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya diarah berpatah balik Jumaat lepas (16 Julai), jumlah tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya diarah berpatah balik Jumaat lepas (16 Julai), jumlah tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kenderaan yang diarah berpatah balik itu dipercayai cuba mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, PDRM yang mengawal rentas daerah dan negeri memeriksa 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha Selasa ini bertujuan memastikan kes positif dari kluster komuniti susulan sambutan perayaan dapat dibendung.

Ismail Sabri berkata, peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah Aidilfitri lepas perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Larangan rentas negeri dan larangan kunjung-mengunjung menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman.

“Sebaliknya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: