Tun M, Tok Mat, Hadi turun Semenyih Khamis ini?

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Calon BN, Zakaria Hanafi mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin hadir ke Semenyih untuk berceramah pada 28 Februari nanti.

Menurutnya, Ahli Parlimen Marang itu begitu komited untuk hadir namun difahamkan keadaan kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan.

“Ada ceramah mega nanti. Mungkin Tuan Guru ada berceramah tetapi lokasinya masih belum ditetapkan.

“InsyaALLAH Tuan Guru Abdul Hadi datang malam 28 Februari ini tapi saya dengar beliau dalam keadaan uzur.

“Kalau kesihatan dia mengizinkan, dia hadirlah. Kalau tidak timbalannya hadir (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Pengundian Awal di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, pagi tadi.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu beliau mungkin sepentas bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 28 Februari ini.

“Saya telah dijadualkan bersama dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 28 Februari nanti jika tak salah saya.

Artikel Berkaitan:

“Tempatnya masih belum diketahui lagi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke rumah penduduk di Kampung Sungai Jai, di sini.

Dalam pada itu, difahamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijadualkan bakal berada di Semenyih pada 28 Februari ini.

Jika semua mengikut perancangan maka penduduk Semenyih bakal menyaksikan kehadiran pemimpin besar ke tempat mereka dua hari lagi.