Capai imuniti kelompok sebelum musim tengkujuh

Ahmad Amzad (tengah) menyampaikan sumbangan bakul makanan menerusi Pemulih di Kondo Rakyat di Kuala Ibai di sini, pada Ahad.
Ahmad Amzad (tengah) menyampaikan sumbangan bakul makanan menerusi Pemulih di Kondo Rakyat di Kuala Ibai di sini, pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang disasarkan mencapai imuniti kelompok sebelum musim tengkujuh menjelang November.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia bagi memastikan proses pengendalian di pusat pemberian vaksin (PPV) tidak terganggu.

"Perkara ini telah dibincangkan dan negeri terbabit disasarkan mencapai imuniti kelompok paling lewat pada Oktober.

"Apabila berdepan musim tengkujuh sudah pasti pusat suntikan vaksinasi (PPV) akan terganggu. Selain itu, kita akan berdepan kesukaran menjaga prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

"Kita mahu segera capai imuniti kelompok supaya tidak berlaku kluster berpunca daripada PPS," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kondo Rakyat di Kuala Ibai di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Agihan sumbangan itu melibatkan seramai 100 keluarga daripada keseluruhan 685 penduduk yang menghuni perumahan tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, operasi PPV terutama melibatkan jenis mega di Kuala Lumpur akan terus beroperasi pada Hari Raya Aidiladha.

Artikel Berkaitan:

"PPV ini akan terus dibuka namun tidak dinafikan akan berlaku penurunan dalam suntikan harian memandangkan dalam musim perayaan.

"Bagaimanapun, ia sudah diatasi dengan jumlah (suntikan harian) yang tinggi pada masa ini,” katanya.