Labuan capai kadar vaksinasi 90 peratus

Sebanyak 90 peratus atau 62,632 populasi dewasa di Labuan telah divaksin setakat Ahad.
Sebanyak 90 peratus atau 62,632 populasi dewasa di Labuan telah divaksin setakat Ahad.
A
A
A

LABUAN - Sebanyak 90 peratus atau 62,632 populasi dewasa di Labuan telah divaksin setakat Ahad.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan,Rithuan Ismail berkata, daripada jumlah itu, 62 peratus atau 42,501 orang sudah melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19.

“Pencapaian memperoleh jumlah besar penduduk untuk divaksin bukanlah tugas yang mudah...ini adalah hasil kerjasama rapat daripada rakyat, pelbagai agensi kerajaan dan Majlis Perwakilan Penduduk.

“Pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), dengan kaedah walk-in dan pandu lalu banyak membantu mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, CITF telah menyenaraikan sejumlah 68,500 populasi dewasa di pulau bebas cukai ini untuk menerima vaksin mereka sama ada Pfizer-BioNTech atau Sinovac di lima PPV iaitu Dewan Kolej Matrikulasi Labuan, Dewan Sri Labuan Jabatan Kerja Raya, Dewan Kompleks Darul Kifayah, dewan serbaguna Blok B Taman Perumahan Mutiara dan Dewan Foo Chow.

Rithuan berkata, daripada jumlah 90 peratus yang divaksin itu, hanya 9.6 peratus bukan warganegara Malaysia.

“Sasaran kami adalah memastikan semua orang berusia 18 tahun ke atas, tanpa mengira status kewarganegaraan, selagi mereka tinggal di Labuan mereka boleh mendapatkan vaksin, ini adalah satu cara untuk membendung penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pasukan vaksinasi bergerak Jabatan Kesihatan Labuan juga telah mula memberikan suntikan vaksin kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit terlantar dari rumah ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, sebanyak 40,000 dos vaksin Pfizer akan tiba di Labuan pada 20 Julai yang boleh diberikan kepada 20,000 individu.

“Selain memberikan vaksin kepada masyarakat tempatan, kami juga berkewajipan memvaksin mereka yang terlibat dalam sektor minyak dan gas serta perkapalan, kerana mereka sering datang ke pulau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ismuni berkata, hanya 2.3 peratus atau 494 orang yang menjalani ujian saringan Covid-19 di dua penempatan setinggan di Kampung Saguking/Gersik semalam diuji positif.

Ujian saringan itu merupakan sebahagian daripada usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan untuk mengekang penularan Covid-19 di penempatan yang berkepadatan penduduk dengan separuh daripada populasi di situ adalah warga asing.

Labuan menyaksikan trend penurunan bilangan individu yang didapati positif Covid-19, dengan kes baharu mencatatkan dua angka beberapa hari lepas. - Bernama