Bantuan RM1,000 kepada pengusaha rumah inap, chalet

HASNI
HASNI
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seramai 551 pengusaha rumah inap dan chalet di Johor menerima bantuan insentif secara sekali bayar (one-off) RM1,000 membabitkan nilai keseluruhan RM551,000 bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 itu diharap membantu pengusaha berkenaan meneruskan perniagaan mereka.

"Kerajaan negeri sedar mengenai impak yang dihadapi oleh sektor pelancongan akibat pandemik itu yang hingga kini belum berakhir. Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Sementara itu, pemilik rumah inap Trata'leka Homestay Resort, Safiah Isa berkata, bantuan berkenaan amat diperlukan bagi menampung kos perbelanjaan operasi rumah inapnya selepas berlaku pengurangan 90 peratus pengunjung sejak tahun lepas.

"Pengurangan ini menyebabkan masalah kewangan untuk membayar kos penyelenggaraan dan sebagainya. Alhamdulillah, bantuan ini dapat menampung perbelanjaan operasi rumah inap khususnya kos penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan sama.

Awal bulan lepas, Hasni mengumumkan peruntukan RM1.74 juta disediakan bagi membantu penggiat sektor pelancongan di bawah PRE Ihsan Johor 3.0, dan golongan yang akan menerima bantuan itu termasuk pengusaha hotel bajet, inap desa, pemandu pelancong serta agensi pelancongan yang berdaftar di Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan: