Tiga lagi wilayah di Thailand kena sekatan lebih ketat

Warganegara Thailand menerima vaksin Covid-19 di Bangkok. Foto Xinhua
Warganegara Thailand menerima vaksin Covid-19 di Bangkok. Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Tiga lagi wilayah di Thailand dikenakan sekatan lebih ketat termasuk perintah berkurung apabila negara ini mencatatkan 11,397 lagi kes baharu Covid-19, jumlah harian tertinggi direkodkan untuk tiga hari berturut-turut.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand melaporkan 101 kematian lebih rendah berbanding 141 kematian yang dilaporkan pada Sabtu.

Setakat ini, kes jangkitan sudah mencecah angka 403,386 dan jumlah korban mencapai 3,341 sejak pandemik mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Menurut Warta Diraja, tiga lagi wilayah iaitu Chon Buri, Ayutthaya dan Chachoengsao diletakkan di bawah "kawasan sekatan maksimum" atau "zon merah gelap", yang menyaksikan perintah berkurung dikuat kuasa dari 9 malam hingga 4 pagi.

Selain itu, pusat beli-belah dan beberapa perniagaan akan ditutup dan orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan perjalanan tidak penting.

Pengangkutan awam di seluruh negara akan mengehadkan penumpangnya sehingga separuh kapasiti bermula Rabu.

Sekatan itu, berkuat kuasa pada Selasa (20 Julai) hingga 2 Ogos bertujuan menghentikan penularan Covid-19 terutama varian Alpha dan Delta.

Sebelum ini, bermula 12 Julai lalu, Thailand mengenakan langkah pencegahan lebih ketat di Bangkok dan sembilan wilayah termasuk empat wilayah di selatan Thailand - Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan lebih ketat berbanding sebelum ini ekoran kes yang terus meningkat.

Dari 11,397 kes baharu Covid-19, CCSA berkata, sejumlah 11,388 melibatkan penularan tempatan merangkumi 2,400 melalui pengesanan kes aktif dan 318 banduan dan sembilan kes import.

Kes kematian pula melibatkan 52 lelaki dan 49 wanita berusia antara 30 hingga 97 tahun. - Bernama