Manny Pacquaio 'knockout'

Hubungan Pacquiao (kiri) dan Duterte semakin tegang sejak bulan lalu. - Foto: Agensi
Hubungan Pacquiao (kiri) dan Duterte semakin tegang sejak bulan lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

MANILA - Bintang tinju Filipina, Emmanuel 'Manny' Pacquiao pada Sabtu disingkirkan daripada jawatan sebagai pemimpin parti pemerintah, PDP-Laban.

Keputusan menggemparkan itu dibuat beberapa minggu selepas senator tersebut mencabar Presiden Rodrigo Duterte berhubung kedudukannya terhadap China malah beliau juga dilihat sebagai penghalang kepada rancangan selepas penggal pemerintahan enam tahun pemimpin itu berakhir.

Proses undian itu juga memutuskan untuk melantik Setiausaha Tenaga, Alfonso Cusi yang merupakan sekutu rapat Duterte untuk menggalas jawatan Presiden Parti PDP-Laban bagi menggantikan Pacquiao.

"Parti ini kekal kuat dan akan bersatu sampai bila-bila," kata Duterte yang merupakan Pengerusi PDP-Laban menerusi ucapannya.

Pacquiao, 42, yang dilihat sebagai pencabar utama untuk menggantikan Duterte pada Pilihan Raya Presiden 2022 telah sekian lama menjadi penyokong kuat pemimpin kontroversi itu malah menyokong kempen antidadah di bawah pentadbirannya.

Bagaimanapun, hubungan antara kedua-duanya mula tegang pada bulan lalu gara-gara Pacquiao mempersoalkan tindakan berdiam diri Duterte terhadap pencerobohan ganas Beijing di Laut China Selatan selain mendedahkan telah melancarkan siasatan rasuah terhadap pemerintah.

Duterte yang berang dengan tindakan berani Pacquiao yang mempertikaikan pendiriannya dengan lantang menyuruh beliau untuk melakukan kajian terperinci terhadap dasar luar malah menyifatkan tuduhan rasuah dilemparkan jaguh tinju itu sebagai tidak berasas.

Sejurus keputusan itu dibuat, Pacquiao yang kini menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan menegaskan parti tersebut sepatutnya memberi fokus terhadap usaha untuk membendung penularan varian Delta yang kini menyumbang kepada lonjakan kes jangkitan di negara tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: