X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Ops Samar pantau peniaga patuh tanda harga

Azman (dua dari kiri) menerangkan sesuatu kepada peniaga ketika Ops Samar di Pasar Awam Taman Seri Gombak pada Ahad.
A
A

GOMBAK - Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya telah melaksanakan Ops Samar bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap penandaan harga.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya mendapati kadar pematuhan peniaga terhadap penandaan harga adalah sebanyak 70 peratus.

"Kita telah melaksanakan Ops Samar ke atas beberapa pasar awam di Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor sejak beberapa hari yang lalu.

"Kita mendapati masih ada segelintir peniaga yang gagal meletakkan tanda harga terhadap barangan jualan mereka, amaran keras telah diberikan terhadap peniaga terbabit, tindakan lebih tegas akan dilakukan sekiranya mereka masih gagal untuk meletakkan tanda harga," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Azman berkata, pematuhan terhadap penandaan harga amat penting bagi mengelakkan manipulasi harga oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan menawarkan harga yang mengelirukan atau berbeza-beza terhadap pengguna tertentu.

"Orang ramai juga dapat menggunakan hak-hak mereka sebagai pengguna iaitu apabila harga dipamerkan dengan jelas, pengguna mudah untuk melakukan perbandingan harga sebelum melakukan sesuatu pembelian sekali gus pengguna tidak rasa diperdaya oleh peniaga," katanya.

Menurutnya, selain itu, apabila sesuatu tanda harga dipamerkan dengan jelas, tempoh masa pengguna untuk berada di dalam sesebuah premis juga semakin singkat kerana tidak perlu untuk banyak berinteraksi dengan peniaga sekali gus dapat membantu pengurangan penularan jangkitan Covid-19.

"Ops Samar ini akan terus dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap penandaan harga dan juga perundangan lain yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP terus dipatuhi oleh peniaga dan hak-hak pengguna juga terpelihara selain mewujudkan suasana perniagaan yang lebih kondusif dan adil," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman memaklumkan, beliau bersama 15 anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya telah membuat Ops Samar di Pasar Awam Taman Seri Gombak pada Ahad.

"Lazimnya pemeriksaan dilakukan oleh pegawai penguat kuasa lengkap berpakaian seragam, namun kali ini pemeriksaan Ops Samar dilakukan dengan pakaian preman berikutan aduan yang diterima oleh pihak KPDNHEP.

"Ada segelintir peniaga hanya meletakkan tanda harga ketika pegawai penguat kuasa berpakaian seragam hadir melakukan pemeriksaan tetapi apabila pemantauan selesai dilakukan, tanda harga itu tidak langsung dipamerkan ke atas barangan yang dijual," katanya.

Azman turut menasihatkan peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan lebih-lebih lagi berkaitan penguatkuasaan tanda harga ini.

"Penandaan harga perlu jelas dan diletakkan ke atas setiap satu barangan yang dijual agar memudahkan pengguna untuk melakukan pembelian lebih-lebih lagi dalam tempoh ekonomi yang sukar ini.

"Tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini bagi memastikan pematuhan terhadap penandaan harga ini tidak diambil mudah oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!