Nelayan Vietnam nekad terjun laut elak ditahan

Antara nelayan Vietnam yang terjun ke laut bagi mengelak ditahan.
Antara nelayan Vietnam yang terjun ke laut bagi mengelak ditahan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beberapa nelayan Vietnam terjun ke laut selepas bot yangdinaiki mereka secara haram dihampiri kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, anggota penguat kuasa bertindak pantas mengarahkan mereka naik ke atas kapal.

Beliau memberitahu, kejadian itu berlaku antara jam 9 hingga 10 pagi pada Sabtu ketika Kapal Maritim (KM) Gemia sedang melakukan Op Kuda Laut pada kedudukan 108 hingga 112 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Susulan itu katanya, Maritim Terengganu menahan dua bot nelayan asing Vietnam bersama 13 kru termasuk tekong yang dipercayai menceroboh perairan negara.

"KM Gemia menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Terengganu (Pusop) yang mendapati nelayan tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Muhammad Suffi, kesemua kru serta tekong berusia antara 22 hingga 41 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan selain merampas bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

Artikel Berkaitan:

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim," katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat dan salah laku dikesan berlaku di perairan negara boleh dilaporkan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09-6223657.