107,000 pekerja sektor pengangkutan dapat vaksin sebelum Ogos

Ka Siong (kanan) beramah mesra dengan warga emas Jawiah Hajinor, 97, (berkerusi roda) yang selesai mendapatkan suntikan vaksin di PPV Integrasi Che Ann Khor, di Yong Peng, hari ini. - Foto Bernama
Ka Siong (kanan) beramah mesra dengan warga emas Jawiah Hajinor, 97, (berkerusi roda) yang selesai mendapatkan suntikan vaksin di PPV Integrasi Che Ann Khor, di Yong Peng, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Seramai 107,000 pekerja barisan hadapan dalam sektor pengangkutan dijangka menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 sebelum akhir Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sasaran itu merangkumi ketiga-tiga sektor pengangkutan iaitu darat, laut dan udara.

Beliau berkata, antara diberi keutamaan adalah pekerja di kawasan lapangan terbang, pelabuhan dan depoh Syarikat Prasarana Negara Bhd yang mengurus rangkaian pengangkutan awam seperti bas dan rel.

“Bagaimanapun, jumlah ini tidak termasuk pemandu teksi dan e-hailing serta p-hailing yang akan mendapat suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) komuniti setempat.

“Kita mempunyai senarai nama mereka ini. Walaupun mereka akan mendapatkan suntikan di PPV komuniti setempat, kita juga akan membantu mereka mendapatkan suntikan segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi hari pertama PPV Integrasi Che Ann Khor, Yong Peng dekat sini pada Ahad.

Ka Siong berkata, pihaknya ada berbincang dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini untuk memvaksinkan 250,000 petugas dan mereka yang terlibat dalam sektor pengangkutan di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: