X

Kindly register in order to view this article
!

TNB salur lebih RM15 juta bantu 50,000 pelajar sekolah

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan hampir RM15.9 juta bagi membantu hampir 50,000 pelajar sekolah pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu merangkumi penajaan kemudahan pembelajaran atas talian, kelengkapan asas persekolahan murid, aktiviti bengkel, tuisyen dan persiapan peperiksaan.

“Sejak 2013 lagi kami menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa depan dan meringankan beban keluarga B40 terutama di kawasan luar bandar.

“Bermula dengan Program Sekolah PINTAR, kami dapat mengasah pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,088 pelajar di sekolah terpinggir,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, 11 sekolah luar bandar di seluruh negara terpilih untuk program yang sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 bagi aktiviti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan.

“Tajaan kami memberi peluang kepada murid-murid ini tingkatkan keperibadian dan prestasi akademik mereka.

“Bagi tempoh 2021 hingga 2023, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di 11 sekolah ini akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM945,000,” ujarnya.

Jelas beliau, TNB menerusi Program Sekolah Amanah pula membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program transformasi pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan.

Katanya, usaha sama dengan Kementerian Pendidikan serta Yayasan Amir, di bawah Khazanah Nasional memberi manfaat kepada 6,991 pelajar di sekolah pinggir bandar.

“Bagi membantu murid-murid dari keluarga miskin bandar di sekitar Ibu pejabat TNB di Bangsar, kami memberikan elaun bernilai RM1,500 setahun untuk setiap pelajar sejak 2018.

“Sehingga 2020, sebanyak RM513,000 bantuan ini telah pun dimanfaatkan 150 pelajar.

“Elaun tahunan ini diberikan untuk tempoh tiga tahun sejak mereka di tingkatan tiga dan seramai 150 pelajar akan menerima elaun dengan peruntukan berjumlah RM675,000 bermula tahun ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, TNB menyokong usaha merapatkan ruang digital menerusi penyediaan laptop, tablet dan talian data untuk 150,000 pelajar sekolah menengah di bawah tajaan Tabung Cerdik (CERDIK) anjuran Yayasan Hasanah.

Tambahnya, TNB merupakan sebahagian penaja utama dengan sumbangan bernilai RM5 juta kepada 3,165 pelajar daripada RM150 juta jumlah tajaan keseluruhan kepada 150,000 pelajar.

“Bagi program Ceria Ke Sekolah, seramai 30,000 murid keluarga B40 telah dan bakal terima sumbangan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM3 juta tahun ini.

“Kami telah peruntukkan RM395,000 untuk menyumbangkan cermin mata percuma kepada lebih 1000 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah Program Better Brighter Vision (BBV).

“Program ini membolehkan 1,324 pelajar dari keluarga B40 mengikuti pelajaran dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, Mahdzir berkata, TNB memberikan pelbagai bentuk tajaan pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada lebih 96 sekolah di seluruh semenanjung bagi menjayakan aktiviti sekolah dengan nilai sumbangan RM536,000 sehingga Jun 2021.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!