Tidak tepat anologikan strategi melawan Covid-19 dengan perang

Gambar kecil: Mohammad Agus
Gambar kecil: Mohammad Agus
A
A
A

STALINGRAD kota menarik. Jauhnya dari Moscow lebih kurang 1,000 kilometer dan mengambil masa 13 jam dengan kereta manakala menaiki kereta api hampir sehari.

Awalnya daerah ini dikenali sebagai Tsarisyn sebelum ditukar menjadi Stalingrad pada 1925 mengambil nama Stalin. Pada November 1961, kota ini ditukar nama Volgograd sehingga sekarang.

Sebelum ini tidak ramai yang mengetahui tentang Stalingrad.

Namun, apabila menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menciapnya di Twitter meminta semua pihak bersatu dan mengatur strategi melawan Covid-19 sepertimana tentera merah Stalin mengalahkan tentera Hitler di pertempuran Stalingrad, kota ini tiba-tiba menjadi popular.

Kata menteri lagi, lupakan perbezaan ke arah persamaan, bentuk kekuatan demi rakyat dan negara. #StayUnitedStaySafe.

Saya tidak faham apa maksud menteri dengan ciapannya. Saya tidak faham apa kaitan strategi melawan Covid-19 dengan pertempuran ini.

Saya tidak faham apa pengajaran dari pertempuran Stalingrad yang hendak menteri bawakan dalam ciapannya.

Justeru, saya fikir ciapan ini memerlukan ulasan. Pertempuran Stalingrad merupakan pertempuran terbesar dalam sejarah perang dunia dengan korban antara satu hingga dua juta orang.

Artikel Berkaitan:

Empat lagi pertempuran terbesar ialah Battle of France, Narva di Estonia, Moscow dan Battle of Berlin.

Kesemua perang ini melibatkan Jerman dengan Soviet kecuali pertempuran France yang melibatkan Jerman dengan Perancis.

Kembali kepada pertempuran Stalingrad, Hitler yang menyerang kota ini pada 1942 bukanlah kerana kota ini strategis, ideologis, historis dan mempunyai nilai ekonomi, tetapi kerana tertarik dengan kota tersebut yang mempunyai nama Stalin.

Bagi Hitler, merebut Stalingrad bermakna menebus kegagalannya dalam pertempuran Moscow setahun sebelum itu.

Selain itu, Hitler mahu menguasai ladang minyak di Azerbaijan dan Chechnya.

Untuk menguasai ladang ini, Hitler perlu menguasai Stalingrad kerana kota ini terletak di tengah perjalanan antara dua wilayah tersebut.

Setelah Soviet menang dalam pertempuran ini, apakah ini bermakna Stalin hebat? Stalin tidak hebat. Yang mengatur strategi untuk mengalahkan Hitler Nazi ini ialah panglimanya, Jeneral Vasili Zhukov.

Stalin hanya bertindak mengikut nasihat Zhukov sahaja dan selepas itu Stalin mengaut nama.

Apa lagi faktor lain kekalahan Hitler?

1) Hitler tamak. Beliau sepatutnya menyerang Moscow sahaja kerana Moscow adalah jantung Kesatuan Soviet, bukannya melancarkan banyak perang dalam satu masa.

2) Masa tidak sesuai. Pertempuran berlaku dalam musim sejuk yang tidak memberi kelebihan kepada tentera Jerman.

3) Pertempuran ini adalah pertempuran sniper dan Soviet mempunyai penembak tepat terhebat iaitu, Vasily Zaytsev. Sehingga hari ini, Zaytsev bersama dengan Simo Hayha dari Finland adalah penembak tepat terbaik dunia.

4) Hitler berani dan mempunyai keazaman, tetapi tidak ada kebijaksanaan.

5) Rakyat Soviet tidak mudah menyerah. Meskipun 90 peratus kota Stalingrad hancur, rakyat Soviet tidak berhenti bekerja menghasilkan kenderaan tentera T-34 untuk terus mempertahankan kota mereka.

6) Tentera Soviet berjuang untuk setiap jalan, rumah dan ruangan tanah. Slogan mereka ialah ‘Di luar Volga tidak ada Bumi untuk kita’. Maka mereka bergadai nyawa demi mempertahankan bumi Volga.

Maka apa yang sukar difahaminya dengan ciapan menteri. Rumusannya sederhana:

i. Strategi melawan Covid adalah untuk menyelamatkan manusia. Oleh itu, tidak sesuai dianalogikan dengan perang yang mengorbankan jutaan jiwa.

ii. Ciapan “lupakan perbezaan ke arah persamaan, bentuk kekuatan demi rakyat dan negara”. Dalam konteks manakah lupakan perbezaan itu? Apakah apabila ada pandangan berbeza, itu perbezaan yang merosakkan? Terimalah ia sebagai saranan untuk kerajaan bertindak dengan lebih cekap dan berkesan lagi.

iii. “Bentuk kekuatan demi rakyat dan negara.” Ini semestinya tanggungjawab kita semua. Tapi di manakah kaitannya dengan pertempuran Stalingrad? Apakah Soviet menang kerana Stalin yang membentuk kekuatan rakyat atau rakyat yang membentuk kekuatan Stalingrad atau kedua-duanya? Ini memerlukan ciapan lanjut.

iv. Jika pun ada pengajaran yang boleh diceduk, faktor 5 dan 6 boleh diambil sebagai faktor positif untuk kita sama-sama terapkan.

Akhirnya, saya terbaca komen seorang netizen dalam Facebooknya: “Kenapa pakai cara Stalin, cara komunis. Kenapa tak pakai cara Nabi hadapi Quraisy semasa perang khandak, bersatu gali parit”.

Menarik komen ini untuk kita sama-sama renungkan.

* Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ialah Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)